Saturday, December 13, 2008

Promosi novel di Mahkota Parade, Melaka

Temui penulis FP di Mahkota Parade, Melaka pada 20 - 21 Disember 2008 ini.

Jumpa anda di sana!!!

Thursday, December 4, 2008

Sedutan Novel ~ MKC

“Suffiya!”

Butang interkom ditekannya dengan harapan Suffiya masih ada di kerusinya. Biasanya waktu begini Suffiya sudah pergi ke surau. Pernah juga dia berselisih di tangga atau terserempak di pintu surau ketika waktu rehat.


“Ya, bos!” jawab Suffiya pantas sambil menghirup air Nescafenya. Setahunya, Encik Haizad sudah keluar dari biliknya, bila masa pulak dia balik ke situ?


“Saya nak cari pelan cadangan sebuah rumah banglo di Seri Kembangan, hujung 2005.”


“Oh... yang itu, setahu saya ada pada Fariz. Hari tu, dia kata nak pinjam sekejap. Dia... belum pulangkan?”

“Kalau dah, buat apa saya tanya awak, cepat cari Fariz!” jerkahnya tiba-tiba. Berkerut kening Aidid melihatkan Haizad bersikap segarang itu.


“Err... cari pelan atau cari Fariz?” tanya Suffiya dalam keliru.


“Pelanlah!” tengking bosnya.

“Hah, tapi... tadi bos suruh saya cari Fariz, kan?”


“Apa kena dengan awak ni, tak faham-faham lagi?”


“Ya, ya, saya faham. Nanti saya hantar, lain?”


“Saya ada tetamu, tolong sediakan air sejuk.”


“Coke boleh?”


“Bolehlah...” Haizad mencebir bibirnya. Dalam dua minggu, sudah puas dia memperbodohkan gadis itu. ‘Malang betul nasibnya dapat bos macam aku!’ gumamnya sendiri.


Berkerut kening Aidid sewaktu melihat aksi rakannya itu. Dalam masa yang sama, dia teringin sekali melihat pembantu peribadi Haizad yang memiliki nama yang cukup indah... Suffiya? Hmm... persis nama adik iparnya sendiri!

“Masuk!” arahnya. Serentak itu, daun pintu ditolak dari luar.

Haizad memandang sekilas ke arah Suffiya. Dia sedang mengepit gulungan pelan di hujung jari sambil menatang dulang kecil berisi dua gelas air Coke sejuk di dalam gelas kurus tinggi. Mata liarnya cuba membandingkan gelas itu dengan diri Suffiya.


“Assalamualaikum, selamat tengah hari. Jemput minum,” ucapnya mesra diiringi senyuman.
Gelas itu diletakkan dengan berhati-hati kerana jika tidak, pasti akan tergolek ke lantai. Tubuhnya sedikit menggeletar apabila Haizad tidak lepas daripada memerhati setiap tingkah lakunya.


“Waalaikumussalam! Terima kasih...” jawab Aidid yang sememangnya peramah.


“Eh, abang?” tingkahnya.


Wajah Suffiya yang pucat terus berubah ceria kerana tidak menyangka pemuda yang membelakangkannya itu ialah abang iparnya sendiri. Sedangkan pagi tadi, mereka berselisih di pintu lif kerana Aidid mahu menumpangkan anak-anaknya bersama emaknya. Katanya, Kak Yani dan pembantu rumah mereka ada sedikit urusan permit dengan ejen di bandar. Tanpa sempat bercerita panjang, Suffiya sudah berlari mengejar teksi di depan blok.

“La... ucu, err... Yaya!” Aidid tersentak. “Kau tengoklah, Izad, budak bertuah ni... Dengan aku sikit pun tak diceritakan pasal kerjanya!” Aidid menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak menyangka akan berjumpa Suffiya di situ. Terjawab sudah teka-tekinya sebentar tadi.


“Jadi... Suffiya dengan kau, apa hubungannya...? Aku tak fahamlah!” Wajah Haizad sudah berubah keruh.

Monday, November 3, 2008

Wajah Novel DS


Di sini DS tampilkan wajah penuh novel dewasa DS yang baru sahaja diterima daripada pihak FP. Jutaan terima kasih DS ucapkan kepada Saudara Kicap (FP) yang telah memberikan sentuhan yang sangat istimewa.


DS percaya gabungan warna hijau, oren, pink dan ungu ini adalah bertujuan menggambarkan satu suasana indah dalam sebuah taman bunga. Sesuai sekali dengan tajuk yang dipilih 'Mekar Kelopak Cinta'.


Ia kisah cinta yang unik. Ibarat bunga. Setelah mekar, kita peliharai kelopaknya agar tidak segera layu. Biarkan cinta itu mekar di hati kita buat selama-lamanya... Aminnn!

Tuesday, October 21, 2008

Mekar Kelopak Cinta ~ Dinaz Salsabila


Detik masa seakan terpaku, bila cinta datang bertamu
* * * * * * *

Walaupun atmanya sangat berat bagaikan ditimpa sebongkah batu, namun tubuhnya terasa ringan sahaja bak layang-layang. Seperti ditarik-tarik, bagaikan ada magnet pula. Semenjak ayahnya pergi, tiada lelaki lain yang boleh disandarkan kepercayaan. Biarlah masa yang beredar, merawat derita di jiwanya.

"Aku mendambakan sebuah kedamaian abadi..." ~ Suffiya

Memandang dia di hadapan mata, dalam keadaan seperti itu, bagai membangkitkan api-api dendamnya. Tanpa sedar, dia terpanah dengan busur asmara. Munculnya bak mentari, menyuluhi insan-insan yang sering dilanda gerhana.

"Kalau kau sudi, akan kuselimut dirimu dengan cinta suci..." ~ Haizad

ISBN 9789833880287
Sem. Malaysia RM21.90
Sabah/Sarawak RM23.90
* * * * * * *
Berada di pasaran mulai 2 Disember 2008. Dapatkan novel ini di kedai buku berhampiran anda atau pesan melalui e-mel, order@fajarnovels.com.my

Tuesday, September 23, 2008

MKC

MKC adalah singkatan kepada tajuk novel dewasa yang bakal terbit.

Bila? Hmm... DS pun tak tahu, sabar ya! ~_~

Friday, September 12, 2008

Skrip : Seheningnya Lebaran

Salam,

Bersempena hari lebaran yang menjelang tiba, DS memohon maaf sekiranya terdapat salah silap, tersinggung, terkasar bahasa dan... halalkanlah apa yang termakan, terminum sama ada terambil tanpa sengaja atau sengaja ya!

Ikutilah sebahagian skrip yang pernah DS tulis beberapa tahun lepas...

*****
Nordin : Mana Daniel, Na ?

Ana : Ada kat dalam bilik dia…

Nordin : Senyap je… buat apa ?

Ana : Main internetlah tu, chit-chat !

Nordin : Hai… kalau tiap-tiap malam mahu melambung bil telefon rumah kita ! Dah dekat nak raya ni macam-macam nak beli !

Ana : Habis tu… daripada dia bercampur dengan budak-budak liar, baik duduk saja di rumah,
hati saya pun tak bimbang ! Di radio dan suratkhabar tu haa… tiap-tiap hari keluar berita jenayah, abang tak tahu ke ?

Nordin : Tahu... Ah ! Kenapa nak bimbang ? Kita dah bagi dia pendidikan yang cukup dan sempurna... Na… cuti sekolah ni kita hantar dia duduk kampung, emak abang sibuk tanya Daniel…

Ana : Duduk kampung ? Boleh ke emak abang tu nak kawal si Daniel ? Budak tu dah besar panjang, dah lima belas tahun… kalau dulu-dulu bolehlah, masih kecil !

Nordin : Ah tahulah dia ! Macamlah emak abang tu tak biasa, saya dulu enam beradik ! Semuanya sihat walafiat ! Lagipun, sepupu-sepupu dia pun balik kampung juga…

Ana : Emm… suka hati abanglah ! Daniel tulah seorang anak kita tapi… seorang-seorang pun abang tak larat nak jaga !

Nordin : Ana ni takut sangat… macamlah kita nak bagi terus si Daniel tu ! Bila sekolah dah buka nanti, kita ambiklah dia balik… apa nak susah !

Ana : Orang lelaki memang macam tulah, suka melepaskan tanggungjawab ! Hidup nak senang je… perasan macam orang bujang, enjoy ke sana ke mari !

Nordin : Ana… dahlah tu, abang dah ngantuk sangat ni... jomlah kita masuk tidur, tutup T V tu ! Kejap lagi nak bangun sahur, jangan lupa kejut abang awal sikit, nanti tak sempat…

Ana : Tak sempat apa ? Nak jadi jinlah tu… berasap tak habis-habis ! Abang bersahur dengan tembakau ajelah ya…

*****
Haikal : Eii… aku boringlah ! Atuk kita tu asyik berleter dua puluh empat jam, jangan main sungailah… jangan main dekat jalanlah… jangan panjat pokok… jangan merayap… macamlah kita semua ni masih kecil !

Daniel : Rindunya dengan komputer aku !

Amir : Dia ni memang tak habis-habis dengan komputer ! Kalau telefon dia memang tak ada kerja lain… komputer, komputer, komputer ! Kau masuk saja dalam komputer kau tu... Daniel !

Daniel : Ah ! Kau tak faham… memang sudah hobi akulah… macam kau dengan gameboy ! Si Haikal dengan kereta kontrol !

Haikal : Baru tiga hari di sini… tapi rasa macam dah tiga tahun ! Aku tak tahanlah… lebih-lebih lagi bila nenek asyik mengekor kita bertiga, rimas betul !

Daniel : Biasalah tu… kalau tak, dia tak ada kawan... duduk seorang dalam rumah ! Atuk pula pagi-pagi dah keluar ke kebun ! Bila dah senja baru nak balik ! Masa abah dan ibu aku nak hantar aku balik kampung, tersangatlah boringnya... tapi bila tahu engkau orang pun balik, terus seronok !

Amir : Iyalah… kita kan sekolah asrama, mana boleh bebas macam ni… asyik kena patuh pada displin dan undang-undang !

Haikal : Betul tu ! Eh, korang ada projek baik tak musim cuti sekolah ni ?

Daniel : Apa maksud kau ?

Haikal : Emm… biasalah ! Dah dekat raya ni… apa lagi main mercunlah ! Budak-budak kampung ni dah sibuk berdentum-dentam, kita bila lagi nak join ?

Amir : Syhh… perlahan sikit ! Nanti… nenek kita tu dengar, habis… hancurrr !

Diam sejenak.

Daniel : Aku bukan tak minat… tapi bahayalah ! Kalau abah aku tahu, habis aku kena bantai !

Amir : Kita diam-diamlah, pandai makan, pandai-pandailah simpan ! Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut !

Daniel : Hoi… sempat berperibahasa pulak tu ! Emm… kau ada duit ke ? Mercun tu mahal juga kan, tak cukup sepuluh-dua puluh ringgit !

Amir : Haa… tentang duit korang jangan risau, papa aku bagi kad GIRO pada aku untuk buat belanja… jadi, selamatlah !

Daniel : Papa kau suruh buat belanja tapi kau nak bakar duit tu ?!

Haikal : Eh ! Banyak mulutlah kau ni Daniel, macam pondan… kalau kau tak nak join, kau kawanlah dengan nenek kat rumah !

Daniel : Oraitlah !
*****
Ana : Itulah abang, Ana dah cakap dah… kalau kita tak hantar Daniel balik kampung, tentu dia tak terlibat ! Haikal, anak adik awak tu memang nakal lain macam, dia pengaruh anak kita sampai berani main mercun !

Nordin : Sudahlah ! Tak baik kita mengata anak orang… anak kita pun tak kurang juga nakalnya ! Ini semua dah takdir…

Ana : Alasan… ! Saya tetap tak puas hati !

Nordin : Habis tu… kita nak buat apa lagi, nasi dah menjadi bubur ! Tak guna menyesal !

Ana : Saya hairan tau dengan abang ni ! Kalau dah putus jari, muka bersopak, kita nak berdiam diri ?

Nordin : Habis awak nak kurung budak Daniel tu sampai besar ? Kita jangan terlalu mengongkong, sudah sampai masanya kita perlu terima perubahan demi perubahan… semakin hari semakin meningkat usianya, semakin memberontak jiwanya ! Kita dah tak ada kuasa… biar dia sendiri yang menentukan nasib dirinya, itu saja jalan yang terbaik !

Ana : Tapi…

Nordin : Masih tak puas hati ?

Ana : Abang… Ana tak sangka tau, abang boleh cakap macam ni ! Abang tak faham naluri seorang ibu… Ana yang mengandung sembilan bulan, Ana yang berhempas pulas ketika melahirkan dia, Ana berpantang empat puluh empat hari, Ana menyusukan dia, Ana menyuap dia, Ana bangun malam bila dia sakit, Ana sayang dia bang, dia seorang je buah hati Ana…

Nordin : Ya… itu abang tahu ! Tapi Ana masih ada abang kan ?

Ana : Ah ! Kalau dulu masa muda-muda, sayang sehidup-semati tapi bila dah jemu, mula cari yang lain ! Abang jangan ingat Ana tak tahu, kehidupan abang di luar rumah !

Nordin : Eh, kenapa itu pula yang hendak dipersoalkan ? Ana dah tak percaya dengan abang lagi ?

Ana : Entahlah… ABANG !!! Kenapa potong kereta tadi macam tu ? Bahayalah..

Nordin : Ah ! Lambat sangat… terkemut-kemut macam kura-kura, nak potong lori tapi takut-takut !

Ana : Abang tak nampak sticker P tu ? Jalan ni bukan kita punya bang ! Orang lain pun ada hak, biarlah lambat asalkan selamat !

Nordin : Sudah bertahun-tahun abang pakai jalan ni, dah kenal sangat selok-beloknya !

Ana : Jangan cakap besar bang, kalau dah kena nanti baru tahu !

Nordin : Ah diamlah ! Tahulah abang !

Ana : Macammana nak diam, kepala saya ni dahlah berserabut, fikirkan anak, fikirkan rumah...

Nordin : Teringatkan persiapan raya awaklah tu ! Yang hebat sangat tu... sampai orang lain pun tak boleh menang dengan awak. Mengalahkan istana, rumah pangsapuri kita tu !

Ana : Abang ! Cuba tumpukan perhatian pada jalanraya ! Ikut undang-undang ! Mana boleh potong kereta di selekoh.....

(Bunyi hon treler)

Ana : Abang !!!!!!!!!!!!!

Nordin : Anaaaaaaa…………….! Ya Allahhhhh !

Tuesday, August 5, 2008

BH ulasan

SASTERA

Dunia Buku: Perjuangan remaja

ANA KONDA karya Dewi Sukma mengisahkan pengalaman Analiza (Lyz) yang digelar 'anakonda' kerana bertubuh besar ketika menuntut di Telok Kerang dan kunjungan bersama-sama kakaknya, Lyn menemui Tok Bidin, pendekar yang mula dilupai masyarakat.
.
Buku setebal 163 terbitan KarnaDya Solution Sdn Bhd berharga RM11.90 senaskhah ini turut mengheret pembaca menghayati kepakaran mereka dalam menguruskan perniagaan keluarganya, D’Alamanda Resort yang semakin berkembang maju.
Bintang: 3 bintang
Powered By Blogger

My Profil

My photo
Kota Kayangan, Wilayah Buana, Malaysia
~digelar Dewi Sukma di V Zuhrah, SMTU '88 ~penggemar novel cinta, misteri dsb ~suka b'khayal & b'borak sakan w'pun nampak mcm pendiam ~penulis novel remaja n cinta!
©2007 '' Por Elke di Barros