Tuesday, September 15, 2009

Mewah Bahasa: Korek kendi

(Petikan dr BH Online)
Bersama Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

PADA suatu hari Cikgu Regina membawa murid-muridnya melawat Muzium Negara....


Cikgu Regina: Murid-murid, di sini dipamerkan artifak-artifak yang telah ditemui oleh ahli arkeologi dari tapak bersejarah. Di tepi sana tu adalah kendi, sejenis bekas tempat mengisi air yang digunakan oleh orang zaman dulu.


Murid 1: Macam mana orang sekarang boleh dapat kendi tu, cikgu?


Cikgu Regina: Ahli arkeologi mengorek kawasan bersejarah dan jumpa di dalam tanah. Macam- macam mereka jumpa, tengoklah tu.


Murid2: Ooo, gitu ke cikgu! Itulah agaknya ada pantun yang kata "Yang korek kendi, yang merah saga. Yang baik budi, yang indah bahasa!"


Cikgu Regina: Tak betul tu! Bukan yang korek kendi....


Murid2: Kenapa tak betul pulak? Saya dengar dalam TV pun selalu pengacara cakap macam tu.


Murid3: Betul tu cikgu, saya pun pernah dengar orang dalam TV cakap macam tu. Lagipun cikgu yang cakap tadi yang kendi tu diperoleh dengan mengorek tanah. Betullah dengan pantun yang korek kendi, sebab nak dapatkan kendi, kita kena korek tanah!


Cikgu Regina: Ha! Ha! Ha! Tak betul semuanya! Sebenarnya kamu semua silap dengar tu! Itulah, saya dah nasihat banyak kali, banyakkan membaca jangan asyik tengok TV aje. Sebenarnya bukan yang korek kendi, tapi sebenarnya "yang kurik kundi", dapat dengar tak perbezaannya?! Kan ada beza tu, antara korek dengan kurik dan antara kendi dengan kundi.


Murid1: Kurik dan kundi tu apa cikgu? Saya tak pernah pun dengar orang guna perkataan tu.


Cikgu Regina: Kurik tu corak ... corak yang berbintik-bintik. Macam baju putih yang ada bintik-bintik hitam, kita panggil corak baju tu kurik.


Murid3: Ooo, corak ke?! Ingatkan gali lubang. Kundi tu apa pulak cikgu? Corak jugak ke?


Cikgu Regina: Kundi tu sejenis biji tumbuhan. Saiznya lebih kurang besar sikit daripada kacang hijau, tapi berwarna merah dan ada satu titik berwarna hitam. Itu yang dikatakan yang kurik kundi, sebab ada titik hitam tu, dibandingkan dengan biji saga. Kamu semua taukan macam mana rupa biji saga?


Murid: Tau cikgu, warna merah!


Cikgu Regina: Pandai pun, dengan itu dalam pantun tu menunjukkan perbezaan antara biji kundi dengan biji saga. Saiz kedua-duanya hampir sama, cuma saga besar sikit dan yang jelas berbeza adalah coraknya, yang kundi corak kurik, warna merah dan ada bintik hitam, saga pula merah keseluruhannya.


Murid2: Apa lagi perbezaan antara kundi dengan saga cikgu?


Cikgu Regina: Pokoknya pun berbeza, pokok saga pokok berbatang yang tinggi. Pokok kundi pula jenis menjalar yang memanjat. Oklah! Mari kita pergi ke bahagian lain pula, tentang pokok ni kamu semua boleh tanya guru sains masa di sekolah nanti. Kalau kita berbincang tentang ini saja, nanti tak habis muzium ni kita teroka. Jom!!


Murid: Jomm! Kita ikut orang yang pakai baju kurik tu ....

Nota:
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

No comments:

Powered By Blogger

My Profil

My photo
Kota Kayangan, Wilayah Buana, Malaysia
~digelar Dewi Sukma di V Zuhrah, SMTU '88 ~penggemar novel cinta, misteri dsb ~suka b'khayal & b'borak sakan w'pun nampak mcm pendiam ~penulis novel remaja n cinta!
©2007 '' Por Elke di Barros