Wednesday, December 31, 2008

Sedutan Novel ~ MKC



Wakil Pengarah Kewangan, yang juga CFO, Encik Shahrul Najmi mengedarkan laporan kewangan syarikat untuk suku tahun pertama. Mereka membelek setiap halamannya tanpa prejudis, malah bangga dan berpuas hati. Sikap sesetengah daripada mereka itu agak mencurigakan Suffiya.

Tiba di hadapan Suffiya, Shahrul berhenti seketika. Rasa sudah hilang darah di muka Suffiya apabila pemuda itu tersenyum-senyum penuh makna. Semasa dia menghulurkan kertas, seakan-akan ada bicara di sebalik renungan matanya yang memukau. Suffiya ternampak cincin suasa berbatu zamrud di jari manis Shahrul. Rasa-rasa macam pernah tengok cincin seperti miliknya tapi, tak ingatlah di mana?

Shahrul tersenyum sumbing melihat reaksi dan ekspresi wajah Suffiya. Seperti malu-malu kucing. Malu, tapi mahu. Padanya, reaksi seperti itu menandakan Suffiya meminatinya. Dan, mungkin ada hati kepadanya, wow!
.
Oh my god! Dia terperasan pulak dah, kantoi! Rasanya seperti sudah hilang darah di muka; bibirnya dikemam-kemam.
.
“Err... terima kasih,” ucap Suffiya bernada gugup apabila sedar Shahrul masih tidak mahu berganjak. Dia menundukkan mata dan terus berdoa dalam hati agar tiada perkara bodoh yang akan berlaku.
.
“Kenapa?” Dengan suara yang perlahan, Haizad mengajukan pertanyaan kepada Suffiya. Saat itu, Shahrul sudah kembali duduk di kerusinya.
“Entah!” jawabnya ringkas.

Saturday, December 13, 2008

Promosi novel di Mahkota Parade, Melaka

Temui penulis FP di Mahkota Parade, Melaka pada 20 - 21 Disember 2008 ini.

Jumpa anda di sana!!!

Thursday, December 4, 2008

Sedutan Novel ~ MKC

“Suffiya!”

Butang interkom ditekannya dengan harapan Suffiya masih ada di kerusinya. Biasanya waktu begini Suffiya sudah pergi ke surau. Pernah juga dia berselisih di tangga atau terserempak di pintu surau ketika waktu rehat.


“Ya, bos!” jawab Suffiya pantas sambil menghirup air Nescafenya. Setahunya, Encik Haizad sudah keluar dari biliknya, bila masa pulak dia balik ke situ?


“Saya nak cari pelan cadangan sebuah rumah banglo di Seri Kembangan, hujung 2005.”


“Oh... yang itu, setahu saya ada pada Fariz. Hari tu, dia kata nak pinjam sekejap. Dia... belum pulangkan?”

“Kalau dah, buat apa saya tanya awak, cepat cari Fariz!” jerkahnya tiba-tiba. Berkerut kening Aidid melihatkan Haizad bersikap segarang itu.


“Err... cari pelan atau cari Fariz?” tanya Suffiya dalam keliru.


“Pelanlah!” tengking bosnya.

“Hah, tapi... tadi bos suruh saya cari Fariz, kan?”


“Apa kena dengan awak ni, tak faham-faham lagi?”


“Ya, ya, saya faham. Nanti saya hantar, lain?”


“Saya ada tetamu, tolong sediakan air sejuk.”


“Coke boleh?”


“Bolehlah...” Haizad mencebir bibirnya. Dalam dua minggu, sudah puas dia memperbodohkan gadis itu. ‘Malang betul nasibnya dapat bos macam aku!’ gumamnya sendiri.


Berkerut kening Aidid sewaktu melihat aksi rakannya itu. Dalam masa yang sama, dia teringin sekali melihat pembantu peribadi Haizad yang memiliki nama yang cukup indah... Suffiya? Hmm... persis nama adik iparnya sendiri!

“Masuk!” arahnya. Serentak itu, daun pintu ditolak dari luar.

Haizad memandang sekilas ke arah Suffiya. Dia sedang mengepit gulungan pelan di hujung jari sambil menatang dulang kecil berisi dua gelas air Coke sejuk di dalam gelas kurus tinggi. Mata liarnya cuba membandingkan gelas itu dengan diri Suffiya.


“Assalamualaikum, selamat tengah hari. Jemput minum,” ucapnya mesra diiringi senyuman.
Gelas itu diletakkan dengan berhati-hati kerana jika tidak, pasti akan tergolek ke lantai. Tubuhnya sedikit menggeletar apabila Haizad tidak lepas daripada memerhati setiap tingkah lakunya.


“Waalaikumussalam! Terima kasih...” jawab Aidid yang sememangnya peramah.


“Eh, abang?” tingkahnya.


Wajah Suffiya yang pucat terus berubah ceria kerana tidak menyangka pemuda yang membelakangkannya itu ialah abang iparnya sendiri. Sedangkan pagi tadi, mereka berselisih di pintu lif kerana Aidid mahu menumpangkan anak-anaknya bersama emaknya. Katanya, Kak Yani dan pembantu rumah mereka ada sedikit urusan permit dengan ejen di bandar. Tanpa sempat bercerita panjang, Suffiya sudah berlari mengejar teksi di depan blok.

“La... ucu, err... Yaya!” Aidid tersentak. “Kau tengoklah, Izad, budak bertuah ni... Dengan aku sikit pun tak diceritakan pasal kerjanya!” Aidid menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak menyangka akan berjumpa Suffiya di situ. Terjawab sudah teka-tekinya sebentar tadi.


“Jadi... Suffiya dengan kau, apa hubungannya...? Aku tak fahamlah!” Wajah Haizad sudah berubah keruh.

Monday, November 3, 2008

Wajah Novel DS


Di sini DS tampilkan wajah penuh novel dewasa DS yang baru sahaja diterima daripada pihak FP. Jutaan terima kasih DS ucapkan kepada Saudara Kicap (FP) yang telah memberikan sentuhan yang sangat istimewa.


DS percaya gabungan warna hijau, oren, pink dan ungu ini adalah bertujuan menggambarkan satu suasana indah dalam sebuah taman bunga. Sesuai sekali dengan tajuk yang dipilih 'Mekar Kelopak Cinta'.


Ia kisah cinta yang unik. Ibarat bunga. Setelah mekar, kita peliharai kelopaknya agar tidak segera layu. Biarkan cinta itu mekar di hati kita buat selama-lamanya... Aminnn!

Tuesday, October 21, 2008

Mekar Kelopak Cinta ~ Dinaz Salsabila


Detik masa seakan terpaku, bila cinta datang bertamu
* * * * * * *

Walaupun atmanya sangat berat bagaikan ditimpa sebongkah batu, namun tubuhnya terasa ringan sahaja bak layang-layang. Seperti ditarik-tarik, bagaikan ada magnet pula. Semenjak ayahnya pergi, tiada lelaki lain yang boleh disandarkan kepercayaan. Biarlah masa yang beredar, merawat derita di jiwanya.

"Aku mendambakan sebuah kedamaian abadi..." ~ Suffiya

Memandang dia di hadapan mata, dalam keadaan seperti itu, bagai membangkitkan api-api dendamnya. Tanpa sedar, dia terpanah dengan busur asmara. Munculnya bak mentari, menyuluhi insan-insan yang sering dilanda gerhana.

"Kalau kau sudi, akan kuselimut dirimu dengan cinta suci..." ~ Haizad

ISBN 9789833880287
Sem. Malaysia RM21.90
Sabah/Sarawak RM23.90
* * * * * * *
Berada di pasaran mulai 2 Disember 2008. Dapatkan novel ini di kedai buku berhampiran anda atau pesan melalui e-mel, order@fajarnovels.com.my

Tuesday, September 23, 2008

MKC

MKC adalah singkatan kepada tajuk novel dewasa yang bakal terbit.

Bila? Hmm... DS pun tak tahu, sabar ya! ~_~

Friday, September 12, 2008

Skrip : Seheningnya Lebaran

Salam,

Bersempena hari lebaran yang menjelang tiba, DS memohon maaf sekiranya terdapat salah silap, tersinggung, terkasar bahasa dan... halalkanlah apa yang termakan, terminum sama ada terambil tanpa sengaja atau sengaja ya!

Ikutilah sebahagian skrip yang pernah DS tulis beberapa tahun lepas...

*****
Nordin : Mana Daniel, Na ?

Ana : Ada kat dalam bilik dia…

Nordin : Senyap je… buat apa ?

Ana : Main internetlah tu, chit-chat !

Nordin : Hai… kalau tiap-tiap malam mahu melambung bil telefon rumah kita ! Dah dekat nak raya ni macam-macam nak beli !

Ana : Habis tu… daripada dia bercampur dengan budak-budak liar, baik duduk saja di rumah,
hati saya pun tak bimbang ! Di radio dan suratkhabar tu haa… tiap-tiap hari keluar berita jenayah, abang tak tahu ke ?

Nordin : Tahu... Ah ! Kenapa nak bimbang ? Kita dah bagi dia pendidikan yang cukup dan sempurna... Na… cuti sekolah ni kita hantar dia duduk kampung, emak abang sibuk tanya Daniel…

Ana : Duduk kampung ? Boleh ke emak abang tu nak kawal si Daniel ? Budak tu dah besar panjang, dah lima belas tahun… kalau dulu-dulu bolehlah, masih kecil !

Nordin : Ah tahulah dia ! Macamlah emak abang tu tak biasa, saya dulu enam beradik ! Semuanya sihat walafiat ! Lagipun, sepupu-sepupu dia pun balik kampung juga…

Ana : Emm… suka hati abanglah ! Daniel tulah seorang anak kita tapi… seorang-seorang pun abang tak larat nak jaga !

Nordin : Ana ni takut sangat… macamlah kita nak bagi terus si Daniel tu ! Bila sekolah dah buka nanti, kita ambiklah dia balik… apa nak susah !

Ana : Orang lelaki memang macam tulah, suka melepaskan tanggungjawab ! Hidup nak senang je… perasan macam orang bujang, enjoy ke sana ke mari !

Nordin : Ana… dahlah tu, abang dah ngantuk sangat ni... jomlah kita masuk tidur, tutup T V tu ! Kejap lagi nak bangun sahur, jangan lupa kejut abang awal sikit, nanti tak sempat…

Ana : Tak sempat apa ? Nak jadi jinlah tu… berasap tak habis-habis ! Abang bersahur dengan tembakau ajelah ya…

*****
Haikal : Eii… aku boringlah ! Atuk kita tu asyik berleter dua puluh empat jam, jangan main sungailah… jangan main dekat jalanlah… jangan panjat pokok… jangan merayap… macamlah kita semua ni masih kecil !

Daniel : Rindunya dengan komputer aku !

Amir : Dia ni memang tak habis-habis dengan komputer ! Kalau telefon dia memang tak ada kerja lain… komputer, komputer, komputer ! Kau masuk saja dalam komputer kau tu... Daniel !

Daniel : Ah ! Kau tak faham… memang sudah hobi akulah… macam kau dengan gameboy ! Si Haikal dengan kereta kontrol !

Haikal : Baru tiga hari di sini… tapi rasa macam dah tiga tahun ! Aku tak tahanlah… lebih-lebih lagi bila nenek asyik mengekor kita bertiga, rimas betul !

Daniel : Biasalah tu… kalau tak, dia tak ada kawan... duduk seorang dalam rumah ! Atuk pula pagi-pagi dah keluar ke kebun ! Bila dah senja baru nak balik ! Masa abah dan ibu aku nak hantar aku balik kampung, tersangatlah boringnya... tapi bila tahu engkau orang pun balik, terus seronok !

Amir : Iyalah… kita kan sekolah asrama, mana boleh bebas macam ni… asyik kena patuh pada displin dan undang-undang !

Haikal : Betul tu ! Eh, korang ada projek baik tak musim cuti sekolah ni ?

Daniel : Apa maksud kau ?

Haikal : Emm… biasalah ! Dah dekat raya ni… apa lagi main mercunlah ! Budak-budak kampung ni dah sibuk berdentum-dentam, kita bila lagi nak join ?

Amir : Syhh… perlahan sikit ! Nanti… nenek kita tu dengar, habis… hancurrr !

Diam sejenak.

Daniel : Aku bukan tak minat… tapi bahayalah ! Kalau abah aku tahu, habis aku kena bantai !

Amir : Kita diam-diamlah, pandai makan, pandai-pandailah simpan ! Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut !

Daniel : Hoi… sempat berperibahasa pulak tu ! Emm… kau ada duit ke ? Mercun tu mahal juga kan, tak cukup sepuluh-dua puluh ringgit !

Amir : Haa… tentang duit korang jangan risau, papa aku bagi kad GIRO pada aku untuk buat belanja… jadi, selamatlah !

Daniel : Papa kau suruh buat belanja tapi kau nak bakar duit tu ?!

Haikal : Eh ! Banyak mulutlah kau ni Daniel, macam pondan… kalau kau tak nak join, kau kawanlah dengan nenek kat rumah !

Daniel : Oraitlah !
*****
Ana : Itulah abang, Ana dah cakap dah… kalau kita tak hantar Daniel balik kampung, tentu dia tak terlibat ! Haikal, anak adik awak tu memang nakal lain macam, dia pengaruh anak kita sampai berani main mercun !

Nordin : Sudahlah ! Tak baik kita mengata anak orang… anak kita pun tak kurang juga nakalnya ! Ini semua dah takdir…

Ana : Alasan… ! Saya tetap tak puas hati !

Nordin : Habis tu… kita nak buat apa lagi, nasi dah menjadi bubur ! Tak guna menyesal !

Ana : Saya hairan tau dengan abang ni ! Kalau dah putus jari, muka bersopak, kita nak berdiam diri ?

Nordin : Habis awak nak kurung budak Daniel tu sampai besar ? Kita jangan terlalu mengongkong, sudah sampai masanya kita perlu terima perubahan demi perubahan… semakin hari semakin meningkat usianya, semakin memberontak jiwanya ! Kita dah tak ada kuasa… biar dia sendiri yang menentukan nasib dirinya, itu saja jalan yang terbaik !

Ana : Tapi…

Nordin : Masih tak puas hati ?

Ana : Abang… Ana tak sangka tau, abang boleh cakap macam ni ! Abang tak faham naluri seorang ibu… Ana yang mengandung sembilan bulan, Ana yang berhempas pulas ketika melahirkan dia, Ana berpantang empat puluh empat hari, Ana menyusukan dia, Ana menyuap dia, Ana bangun malam bila dia sakit, Ana sayang dia bang, dia seorang je buah hati Ana…

Nordin : Ya… itu abang tahu ! Tapi Ana masih ada abang kan ?

Ana : Ah ! Kalau dulu masa muda-muda, sayang sehidup-semati tapi bila dah jemu, mula cari yang lain ! Abang jangan ingat Ana tak tahu, kehidupan abang di luar rumah !

Nordin : Eh, kenapa itu pula yang hendak dipersoalkan ? Ana dah tak percaya dengan abang lagi ?

Ana : Entahlah… ABANG !!! Kenapa potong kereta tadi macam tu ? Bahayalah..

Nordin : Ah ! Lambat sangat… terkemut-kemut macam kura-kura, nak potong lori tapi takut-takut !

Ana : Abang tak nampak sticker P tu ? Jalan ni bukan kita punya bang ! Orang lain pun ada hak, biarlah lambat asalkan selamat !

Nordin : Sudah bertahun-tahun abang pakai jalan ni, dah kenal sangat selok-beloknya !

Ana : Jangan cakap besar bang, kalau dah kena nanti baru tahu !

Nordin : Ah diamlah ! Tahulah abang !

Ana : Macammana nak diam, kepala saya ni dahlah berserabut, fikirkan anak, fikirkan rumah...

Nordin : Teringatkan persiapan raya awaklah tu ! Yang hebat sangat tu... sampai orang lain pun tak boleh menang dengan awak. Mengalahkan istana, rumah pangsapuri kita tu !

Ana : Abang ! Cuba tumpukan perhatian pada jalanraya ! Ikut undang-undang ! Mana boleh potong kereta di selekoh.....

(Bunyi hon treler)

Ana : Abang !!!!!!!!!!!!!

Nordin : Anaaaaaaa…………….! Ya Allahhhhh !

Tuesday, August 5, 2008

BH ulasan

SASTERA

Dunia Buku: Perjuangan remaja

ANA KONDA karya Dewi Sukma mengisahkan pengalaman Analiza (Lyz) yang digelar 'anakonda' kerana bertubuh besar ketika menuntut di Telok Kerang dan kunjungan bersama-sama kakaknya, Lyn menemui Tok Bidin, pendekar yang mula dilupai masyarakat.
.
Buku setebal 163 terbitan KarnaDya Solution Sdn Bhd berharga RM11.90 senaskhah ini turut mengheret pembaca menghayati kepakaran mereka dalam menguruskan perniagaan keluarganya, D’Alamanda Resort yang semakin berkembang maju.
Bintang: 3 bintang

Thursday, July 10, 2008

MSS 'Atma'

Minggu lepas, ada kawan DS yang sangat prihatin bertanya tentang mss yang pernah ditolak KD dan JS yang menggunakan tajuk, 'Atma'. Dia minta DS menghantar mss ini kepada penerbit yang lain.

Sebenarnya, secara peribadi, DS dah tak yakin nak tengok mss ini dijadikan novel. Mungkin berasa sedikit terkilan, namun DS sedar, ia ditolak kerana tak bersesuaian dengan kehendak penerbit tersebut.

Mss ini pernah ditampal di ruang blog satu lagi di bawah kategori e-novel. Di antara pembaca setianya ialah Adik Aieza. Menurutnya, cerita ini menarik terutama ia bertemakan cinta! Biarpun begitu, DS mengaku, perlu banyak belajar untuk menghasilkan sebuah mms yang bermutu. Bukanlah sekadar bercerita, tapi cerita yang nak disampaikan mesti logik selain mengandungi ilmu dan pengajaran kepada pembaca.

DS dah minta seorang rakan penulis untuk membaca mms ini. Nampaknya, ada beberapa perkara yang dia sentuh, komen dan juga kritikan yang membina. Kini, DS setia menunggu penilaian daripada pihak penerbit tersebut dan berharap, akan ada jawapan positif... insya'Allah!

Thursday, May 29, 2008

ILHAM CORNER ~cute cover!


DS UCAPKAN JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA KARNADYA SOLUTIONS... (BOSS & SEMUA TEAM) KERANA TELAH MEMBERI KEPERCAYAAN DAN PELUANG UNTUK DS BERKARYA DALAM GENRE USAHAWAN MUDA INI.
SECARA JUJURNYA, ILHAM CORNER INI LAHIR DARIPADA PENGALAMAN FAMILI DS SENDIRI YANG SUDAH LAMA BERKECIMPUNG DALAM BISNES.
HARAPAN DS, SEMUA ADIK-ADIK JADIKAN NOVEL INI SEBAGAI BAHAN BACAAN DI MASA LAPANG KERANA ADA BANYAK INFORMASI, INSPIRASI, MOTIVASI YANG BOLEH MEMANDU KE ARAH KECEMERLANGAN DALAM KEHIDUPAN MENDATANG.
INSYA-ALLAH!

Friday, May 9, 2008

Tajuk Novel

Sekali lagi ds menghadapi isu ini yang nampak ringan namun tak kurang hebatnya dari segi pemasaran.

Memangpun, setiap kali mengarang sesebuah manuskrip, ds akan berhadapan dengan dilema... susahnya hendak memilih tajuk cerita! Sedangkan, jalan cerita, watak dan lokasi sudah siap sedia dipilih. Wah!!! Tak ubah seperti seorang direktor filem, kan? Ceh... perasan!

Apa-apa pun, novel bergenre bisnes ini bakal berubah tajuk. Itulah berita terkini yang telah disampaikan oleh pihak penerbit. Kemungkinan besar, ia bakal berubah kepada... jeng... jeng... jeng... ***** CORNER.

Sehingga kini, pihak KD sudah melantik designer yang cekap dan tentunya profesional untuk merekabentuk layout dan cover yang bersesuaian.

Sunday, April 27, 2008

SIC ~ Novel Awal Remaja Ketiga

Menampilkan sebuah keluarga... Encik Raof, Puan Zaimah dan tiga orang anaknya, Raudah, Ridzalman dan Rauzan. Mereka menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dengan hanya menjual sarapan pagi di warung sahaja.

Ridzalman (Ijal) suka melukis gambar alam semula jadi. Berkat dorongan keluarga dan cikgu di sekolahnya, dia berjaya memenangi hadiah cek berjumlah RM5,000.00. Dengan senang hati, dia menawarkan wang itu kepada ayahnya untuk memulakan sebuah perniagaan runcit di sebelah warung emaknya pula.

Pelbagai peristiwa suka duka yang berlaku. Namun, semuanya tidak melemahkan semangat mereka untuk meraih kejayaan yang gemilang. Ikutilah kisah kehidupan Ijal sekeluarga dan rakan-rakan sekolahnya yang berbilang bangsa di Peserai, Batu Pahat.

Thursday, April 17, 2008

PWTC'08, Dalam Kenangan

Salam Sayang!

Pesta buku sudahpun berakhir, pelbagai kenangan yang ds semat kemas-kemas ke dalam ingatan. Yang paling manis, sudah tentulah kepada peminat cilik yang tak dapat ds temui. Waktu itu, ds baru sahaja berlalu untuk mencari sesuatu yang boleh mengisi perut. Bayangkanlah dari pagi hanya sempat mengicip sebiji roti + bancuhan kopi super power! Andaikata ada peluang, pasti kita akan bertemu, insya-Allah!

Sedikit berita terkini..

Semalam ds mendapat tahu mss terbaru telah diluluskan. Tajuk yang dicadangkan adalah, 'Seri Impian Corner'. Cerita ini masih mengekalkan tema masyarakat namun ada sedikit kelainan dan amat istimewa sekali kerana di dalam mss ini, ds turut memberikan tips-tips untuk golongan muda memulakan sebuah perniagaan.

So.. nantikan kemunculannya, ya!

Wednesday, March 26, 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL'08



Temui DS dan rakan-rakan penulis KarnaDya di booth bernombor.. 3064 - 3065!

Wednesday, February 6, 2008

Penghargaan

Salam perkenalan,

Pertama sekali, DS panjatkan kesyukuran kepada Tuhan Yang Maha Esa. Terima kasih ditujukan buat;

Famili ~ toleransi, kasih sayang dan harapan.

KarnaDya Solutions ~ tunjuk ajar, dorongan dan peluang keemasan.

Sahabat dan pembaca ~ teguran, semangat dan sokongan kalian.

Akhirkata, semoga terhibur dengan karya terbaru DS ini dan bersama-sama memperoleh manfaat daripadanya.

Thursday, January 31, 2008

ANA konda Cover


So? OK, tak?

Gabungan warnanya DS suka; hijau, biru, coklat. Suasana di pondok bas itu pula tepat seperti dalam gambaran DS cuma watak pelajar itu saja yang perlu dijadikan lebih dewasa sedikit kerana mereka dah pun bersekolah menengah.

Wah-wah-wah! Tengok si Ana tu! Bukan main lagi dia nak tunjuk aksi karate, tali pinggang merah u.. dengan mukanya yang garang giler!

Makanya, jangan sesekali pandang rendah kat kita, tau!
Awas!!!

Tuesday, January 29, 2008

Akhirnya...

YaHoo!!!

Akhirnya, KarnaDya memutuskan penggunaan tajuk asal manuskrip DS iaitu...
ANAkonda.
Syukur, Alhamdulillah!
Selepas lebih tiga bulan manuskrip ini dihasilkan dan menjalani proses demi proses... mencari bahan/sumber, editing, dan sekarang, ia diterbitkan. Rasanya, puas sangat! Tak dapat nak gambarkan kepuasan yang DS alami ini.
Pada asalnya, DS mencedok sebahagian kisah ini drp seorg kawan lama. DS berkongsi pula bahan cerita ini dgn rakan-rakan tersayang esp. Aeiza dan Syima... kemudian, barulah DS mengambil sumber dr web utk segmen ilmunya. Semuanya, digabung, digarap dan seterusnya dicantikkan dengan ilustrasi drp Shah yang cukup profesional; maka lahirlah,
ANAkonda.

Monday, January 7, 2008

Tajuk Novel Remaja Ke2

Tajuk 'Anakonda' tidak dapat direalisasikan di atas kulit novel kedua DS. Apa nak buat? Dah kehendak penerbit, menurut mereka (yg arif n pakar) tajuk ini tidak sesuai. Mungkin.. begitu menakutkan! Terutama untuk kumpulan sasaran pembaca iaitu para remaja di luar sana.
Err.. entahlah! Pada DS, remaja kita kini sudah berubah persepsi mereka. Lebih menakutkan maka lebih menyeronokkan, tak gitu? Namun, DS berserah saja dan menyenaraikan beberapa cadangan tajuk yang lain. Di antaranya..
  1. Jejak Rimba
  2. Dua Kali Lima
  3. Seribu Impian
Diharap pihak penerbit akan mengambil salah satu dari tajuk-tajuk ini dan memilih rekabentuk kulit novel yang paling cantik hehehe.. itu dah semestinya, seperti kulit novel 'Cincin Delima' yang penuh kebiru-biruan dengan panorama alam di dasar lautan, sungguh memukau!!!

Glossari ;

Anakonda-Sejenis ular boa yang sangat besar, berasal dari Amazon.

My Profil

My photo
Kota Kayangan, Wilayah Buana, Malaysia
~digelar Dewi Sukma di V Zuhrah, SMTU '88 ~penggemar novel cinta, misteri dsb ~suka b'khayal & b'borak sakan w'pun nampak mcm pendiam ~penulis novel remaja n cinta!
©2007 '' Por Elke di Barros