Wednesday, December 31, 2008

Sedutan Novel ~ MKC



Wakil Pengarah Kewangan, yang juga CFO, Encik Shahrul Najmi mengedarkan laporan kewangan syarikat untuk suku tahun pertama. Mereka membelek setiap halamannya tanpa prejudis, malah bangga dan berpuas hati. Sikap sesetengah daripada mereka itu agak mencurigakan Suffiya.

Tiba di hadapan Suffiya, Shahrul berhenti seketika. Rasa sudah hilang darah di muka Suffiya apabila pemuda itu tersenyum-senyum penuh makna. Semasa dia menghulurkan kertas, seakan-akan ada bicara di sebalik renungan matanya yang memukau. Suffiya ternampak cincin suasa berbatu zamrud di jari manis Shahrul. Rasa-rasa macam pernah tengok cincin seperti miliknya tapi, tak ingatlah di mana?

Shahrul tersenyum sumbing melihat reaksi dan ekspresi wajah Suffiya. Seperti malu-malu kucing. Malu, tapi mahu. Padanya, reaksi seperti itu menandakan Suffiya meminatinya. Dan, mungkin ada hati kepadanya, wow!
.
Oh my god! Dia terperasan pulak dah, kantoi! Rasanya seperti sudah hilang darah di muka; bibirnya dikemam-kemam.
.
“Err... terima kasih,” ucap Suffiya bernada gugup apabila sedar Shahrul masih tidak mahu berganjak. Dia menundukkan mata dan terus berdoa dalam hati agar tiada perkara bodoh yang akan berlaku.
.
“Kenapa?” Dengan suara yang perlahan, Haizad mengajukan pertanyaan kepada Suffiya. Saat itu, Shahrul sudah kembali duduk di kerusinya.
“Entah!” jawabnya ringkas.

Saturday, December 13, 2008

Promosi novel di Mahkota Parade, Melaka

Temui penulis FP di Mahkota Parade, Melaka pada 20 - 21 Disember 2008 ini.

Jumpa anda di sana!!!

Thursday, December 4, 2008

Sedutan Novel ~ MKC

“Suffiya!”

Butang interkom ditekannya dengan harapan Suffiya masih ada di kerusinya. Biasanya waktu begini Suffiya sudah pergi ke surau. Pernah juga dia berselisih di tangga atau terserempak di pintu surau ketika waktu rehat.


“Ya, bos!” jawab Suffiya pantas sambil menghirup air Nescafenya. Setahunya, Encik Haizad sudah keluar dari biliknya, bila masa pulak dia balik ke situ?


“Saya nak cari pelan cadangan sebuah rumah banglo di Seri Kembangan, hujung 2005.”


“Oh... yang itu, setahu saya ada pada Fariz. Hari tu, dia kata nak pinjam sekejap. Dia... belum pulangkan?”

“Kalau dah, buat apa saya tanya awak, cepat cari Fariz!” jerkahnya tiba-tiba. Berkerut kening Aidid melihatkan Haizad bersikap segarang itu.


“Err... cari pelan atau cari Fariz?” tanya Suffiya dalam keliru.


“Pelanlah!” tengking bosnya.

“Hah, tapi... tadi bos suruh saya cari Fariz, kan?”


“Apa kena dengan awak ni, tak faham-faham lagi?”


“Ya, ya, saya faham. Nanti saya hantar, lain?”


“Saya ada tetamu, tolong sediakan air sejuk.”


“Coke boleh?”


“Bolehlah...” Haizad mencebir bibirnya. Dalam dua minggu, sudah puas dia memperbodohkan gadis itu. ‘Malang betul nasibnya dapat bos macam aku!’ gumamnya sendiri.


Berkerut kening Aidid sewaktu melihat aksi rakannya itu. Dalam masa yang sama, dia teringin sekali melihat pembantu peribadi Haizad yang memiliki nama yang cukup indah... Suffiya? Hmm... persis nama adik iparnya sendiri!

“Masuk!” arahnya. Serentak itu, daun pintu ditolak dari luar.

Haizad memandang sekilas ke arah Suffiya. Dia sedang mengepit gulungan pelan di hujung jari sambil menatang dulang kecil berisi dua gelas air Coke sejuk di dalam gelas kurus tinggi. Mata liarnya cuba membandingkan gelas itu dengan diri Suffiya.


“Assalamualaikum, selamat tengah hari. Jemput minum,” ucapnya mesra diiringi senyuman.
Gelas itu diletakkan dengan berhati-hati kerana jika tidak, pasti akan tergolek ke lantai. Tubuhnya sedikit menggeletar apabila Haizad tidak lepas daripada memerhati setiap tingkah lakunya.


“Waalaikumussalam! Terima kasih...” jawab Aidid yang sememangnya peramah.


“Eh, abang?” tingkahnya.


Wajah Suffiya yang pucat terus berubah ceria kerana tidak menyangka pemuda yang membelakangkannya itu ialah abang iparnya sendiri. Sedangkan pagi tadi, mereka berselisih di pintu lif kerana Aidid mahu menumpangkan anak-anaknya bersama emaknya. Katanya, Kak Yani dan pembantu rumah mereka ada sedikit urusan permit dengan ejen di bandar. Tanpa sempat bercerita panjang, Suffiya sudah berlari mengejar teksi di depan blok.

“La... ucu, err... Yaya!” Aidid tersentak. “Kau tengoklah, Izad, budak bertuah ni... Dengan aku sikit pun tak diceritakan pasal kerjanya!” Aidid menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia sendiri tidak menyangka akan berjumpa Suffiya di situ. Terjawab sudah teka-tekinya sebentar tadi.


“Jadi... Suffiya dengan kau, apa hubungannya...? Aku tak fahamlah!” Wajah Haizad sudah berubah keruh.

My Profil

My photo
Kota Kayangan, Wilayah Buana, Malaysia
~digelar Dewi Sukma di V Zuhrah, SMTU '88 ~penggemar novel cinta, misteri dsb ~suka b'khayal & b'borak sakan w'pun nampak mcm pendiam ~penulis novel remaja n cinta!
©2007 '' Por Elke di Barros