BACA BAB AWAL DI SINI...
Cinta Hati Cikgu Rabbit ~ Bab 10
(Fajar Pakeer, 2012)
10
“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Rabytha kepada seseorang yang sedang membelakanginya. Orang itu lagaknya tak ubah seperti tukang kebun. Bertopi, berbaju besar dan berbut separas lutut serta berkaca mata plastik besar. Sebuah mesin potong rumput disangkutkan ke bahunya sambil tangannya mengayun selaras besi panjang ke kanan dan ke kiri.
“Assalamualaikum,” ulangnya sekali lagi. Kali ini suaranya bernada lebih kuat dan agak keras sedikit.
Masih tiada respons. Rabytha menanti dahulu orang itu menyudahkan kerjanya. Sebaik sahaja mendapat peluang, dia mencuba lagi.
“Pak cik, saya nak jumpa Puan Sri, boleh ke?” Bunyi yang terhasil daripada mesin itu amat bingit dan Rabytha terpaksa menjerit.
“Pak cik, pak cik dengar tak?” Dia cuba mengacah-acah tangannya di hadapan orang itu.
“Tak nak jumpa dengan anaknya dulu ke?” jerit Jo seraya melepaskan gengaman di suis mesin rumput di tangannya.
“Siapa tu? Pasal apa pulak?” soalnya kembali. “Jo! You?”
Serta-merta wajah Rabytha berubah. Tersipu-sipu malu kerana telah terpanggil Jo dengan gelaran pak cik tadi.
“Kenapa, you terkejut ke? Tak percaya?” Jo menanggalkan kaca mata plastik yang tersangkut di telinganya. Topi besar di kepalanya tadi dikibas-kibas ke arah badan yang berpeluh-peluh sehingga membasahi seluruh baju. Dalam pada itu, sempat juga Jo mengerling ke arah gadis yang berdiri di sisinya itu. Malah sempat pula melihatnya dari atas ke bawah. Cantik, bisik hatinya.
Rabytha berbaju kurung pesak daripada kain sutera bercorak batik lukis. Dipadankan bersama tudung bawal ungu berbatu swaroski. Disematkan pula dengan pin berbentuk rama-rama di penjuru bahu kiri. Penampilannya sederhana, menyerlahkan lagi keayuan gadis Melayu yang berasal dari kampung.
Sebuah kampung yang telah dibangunkan semula sebahagiannya menjadi sebuah taman perumahan. Dan kebanyakan rumah-rumah teres yang terdapat di situ masih lagi mengekalkan ciri-ciri reka bentuk rumah Melayu. Dalam diam, Jo memanjatkan rasa syukur kerana dalam kerancakan arus kemodenan ini masih terdapat perempuan yang sebenar-benarnya perempuan. Jelas terpancar nilai-nilai ketimuran. Lemah lembut, baik hati dan penyayang. Cuma sesekali akan terserlah jua sifat tegasnya.
“Hmm... I’m so sorry.” Rabytha terkejut terus. Hilang semua perkataan yang ada dalam kepalanya. “I... Err... tak tahu nak cakap apa lagi.”
“Lain kali tengoklah dulu betul-betul. Hari tu apabila I tersasul panggil you Cikgu Rabbit, pandai aje suruh I enjut ketampi, macam-macam hal. Sekarang I nak denda you lompat katak pulak,” gesa Jo dengan wajah selamba, diikuti senyuman sinis.
“Jo, you ni mengarut betul. Gila! I ni dah nak masuk 3 series, Jo. Terkehel pinggang I ni nanti,” bidas Rabytha. Dia tahu Jo hanya bergurau. Jo memang sengaja nak kenakan dia balik.
“Ha... tahu pun nak mengaku diri tu dah tua. Tapi kan, Rabytha, I tengok you ni tak nampak tua sangat. You ni kira awet muda jugak. Tetap maintain,” puji Jo pula.
“Kalau you puji ikhlas... I like to say thanks. Tapi kalau tak, I tak kisah pun.” Rabytha menempelaknya semula.
“Honestly. You tak percaya ke?” Jo menjawab dengan bersungguh-sungguh. Kali ini memang dia tidak tipu. Itulah penilaiannya yang sebenar. Namun dia sedar, bukan mudah Rabytha mahu mempercayai kejujurannya dan terpulanglah pada penerimaan yang empunya diri.
Akhirnya Rabytha tergelak kecil. “Ada-ada saja. Nak ajak I gaduhlah tu,” duganya.
“Macam dulu?” tanya Jo seraya menyimpul senyuman. Lunak sungguh intonasi suaranya. Mesra dan amat bermakna.
“Hmm...” Rabytha berdeham lalu mengalih wajahnya ke arah lain. Ternyata dia berasa sungguh tidak selesa.
Tiba-tiba sahaja mereka berdua terdiam dan masing-masing mencari kata-kata yang sesuai untuk menghidupkan suasana ceria.
“I tak sangka you pandai berkebun. Kalau macam ni… boleh I pajak you untuk tadika I?” Akhirnya, bibir Rabytha menuturkan kata-kata itu pula. Suaranya juga kedengaran sangat lunak, dengan separuh bergurau. Matanya menyusur ke persekitaran banglo dua tingkat setengah itu.
Itulah satu-satunya rumah yang paling besar diubah suai reka bentuk binaannya. Kedudukannya di lot penjuru maka ia mempunyai halaman yang sungguh luas bahkan memiliki tempat meletak kereta berbumbung sendiri. Manakala rumah dua tingkat Rabytha pula terletak di hujung teres sebelah sana.
“Boleh juga. I kan anak AJK taman ni, apa salahnya? FOC aje.” Nak pajak seumur hidup pun boleh, desis Jo dalam hati.
“Free of charge? Wah! Baiknya you ni. Untung dapat kawan macam you,” puji Rabytha. Matanya membundar ceria.
“Bolehlah you mula pada bila-bila masa… hmm?” ajunya terus. Pucuk dicita, ulam mendatang.
“Esok kan hari Ahad? Err... petang esoklah I datang,” ujar Jo pula. Dia kemudian tersenyum.
“Eh, jadi ke you nak jumpa umi I?” Jo sengaja mengusik.
“Eh tentulah jadi! Puan Sri ada di rumah tak? Boleh I jumpa dengan Puan Sri sekejap?” Rabytha berbasa-basi meminta izin daripada Jo. Sengaja dia membahasakan umi dengan panggilan Puan Sri supaya lebih formal.
“Boleh. Tapi maaf, umi tak ada. Puan Sri Yasmin tu faham-faham ajelah, sibuk memanjang. Mengalahkan menteri hal ehwal wanita.” Jo sempat lagi berleter.
“La… kenapalah tak cakap siang-siang? Membazir betul! Buat kering air liur aje.” Rabytha mencebik.
“Aik, masih nak kata membazir lagi? Kalau I tak layan you tadi... tentu you terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat percuma I tu.”
“Hah, betul jugak. Bukan senang nak jumpa orang yang... macam you ni,” sindir Rabytha.
“Ya ke? Jadi... I ni yang macam apa?” soalnya balik. “Baik dan handsome, kan?”
“Apa? Jangan nak perasan. Maksud I...” Rabytha tertelan air liur. Memang pun dia mengaku Jo seorang yang baik dan memiliki wajah yang tampan.
“Maksud you, you senanglah dengan I, kan?” Jo menduga lagi.
“Eh, I minta diri dulu. Ada banyak kerja lain nak kena tengok,” dalih Rabytha.
“Hai... saja nak mengelak. Tadi kata tekak dah kering air liur. Jomlah minum dulu. Ada air sejuk kat sana tu.”
“Air? Alamak, langkah kanan.” Rabytha berkira-kira sendiri untuk menerima pelawaan Jo. “Kata orang rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.”
Rabytha mengikut Jo.
Mereka berdua duduk di set rotan yang diletakkan di taman mini yang turut dilengkapi oleh sebuah payung lebar. Payung itu dibuka, melindungi mereka daripada pancaran cahaya yang masih menggalak di luar itu. Jo menuang air durian belanda sejuk ke dalam dua gelas kaca. Dua gelas yang lain tidak diisi. Diambilnya segelas dan dihulur kepada tetamunya. Segelas lagi terus dihirup sehingga habis kemudian diisi penuh semula gelasnya itu.
“Rabytha? Boleh I panggil you, Rabytha?”
“Boleh… asal you jangan panggil I rabbit atau bee, I saman you nanti.”
Berdekah-dekah Jo ketawa mendengar amaran itu. Dia memang tidak akan dapat melupakan setiap detik-detik di zaman persekolahan dahulu. Kerana ejekan itulah satu penampar sulung hinggap di pipinya.
“Dah terlanjur you di sini, I nak tanya you tentang perkembangan pelajaran Girl di sekolah.”
“Qistina budak yang pintar, jadi you tak perlu bimbang tentang pelajarannya. I rasa kalau dia masuk tahun satu di sekolah rendah, tentu dia akan jadi pelajar yang cemerlang. Beruntung you ada dia, Jo.”
“Hmm… memang I beruntung. Girl adalah segala-galanya dalam hidup kami sekeluarga. Padahal dulu... You tahu tak?”
Rabytha menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak tahu.
“Dulu, I tak sokong langsung dengan keputusan adik I. Dia nak nikah dengan orang putih. Sampaikan I berperang besar dengan dia dan keluarga I sebab mereka tak kisah langsung. Lebih-lebih lagi, umi. Pelik betul, entah apa yang istimewa sangat orang bangsa asing ni. I geram sangat dengan sikap adik I yang degil. Sebagai tanda protes, I tak balik pun masa mereka akad nikah di sini.” Jo menyelak kembali lembaran cerita tersebut.
“Oh!” sahut Rabytha sambil menghirup baki air durian belanda sejuk yang tidak berapa manis.
“Dah jodoh mereka, tak baik you buat dia macam tu.” Rabytha sekadar memberikan nasihat.
“Itulah, memang I ni teruk sangat. Akibat terlalu marah, I langsung tak bertegur sapa dengan mereka sehinggalah Girl dilahirkan. Sedikit sebanyak, kelahirannya telah menjernihkan kembali perhubungan kami adik-beradik. Tak lama kemudian, mereka berdua join dalam perniagaan bapa. Salah satu syarikat bapa mengusahakan produk kitar semula daripada bahan-bahan buangan. Adik I dan husband dia tu memang agak aktif. Ke sana sini mereka pergi mencari idea dan kemahiran, termasuk dari negara-negara luar.”
“Err... masa tu Qistina masih kecil... tentu dia selalu ditinggal-tinggalkan.” Rabytha sekadar mengulas dan membuat andaian sendiri.
“Memang betul. Selalu juga Girl ditinggalkan bersama umi di sini. Rasanya, Girl lebih rapat dengan keluarga kami berbanding keluarga suami adik I. Tapi... kalaulah Girl ikut mereka, tak tahulah I nak cakap apa.”
“Sebab itu you jaga Girl macam anak you sendiri?” Rabytha menduga.
“Ya… sebab I rasa terkilan atas apa yang I buat dulu. Malah I tak sempat nak minta maaf pun. I dah banyak berdosa kepada arwah Wafiah dan suaminya. I benar-benar menyesal. Sebagai abang, I tak sepatutnya bersikap prejudis, apatah lagi kepada arwah suaminya itu. Girl dah jadi anak yatim piatu pada usia yang terlalu muda. Tak sanggup I tengok dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Bagi I, dia berhak mendapat yang terbaik setelah apa yang I buat kepada arwah papanya.”
“Jo, you tak takut ke kalau-kalau tak ada sesiapa pun yang mahu kahwin dengan you sebab you dah ada anak… err... maksud I... dah ada tanggungjawab?”
“I ni, Rabytha, macam nilah. Memang tak sempat nak fikir pasal itu lagi. Tapi, entahlah!” Jo melepaskan keluhan sebaik sahaja wajah Rita muncul di ruang mata.
“Kenapa?” Kening Rabytha berkerut. Dia agak cemas apabila nada suara Jo mula rendah.
“I rasa pintu di hati ini macam dah terkunci mati. Tak tahulah kalau esok-esok ada yang sudi membukanya.”
Rabytha terdiam panjang. Tiba-tiba timbul perasaan simpati pada nasib malang yang menimpa Jo.
“Insya-Allah, sebab anak kuncinya tu kan ada di tangan you sendiri.”
“You tu, macam mana? I tengok you relaks aje. Bila lagi you nak makan nasi minyak?” Jo mengalih tajuk. Kini jodoh Rabytha pula yang dipersoal.
“Kahwin maksud you?” Rabytha tergelak kecil.
“Kenapa you gelak?” soalnya. Dalam hati, dia mahu Rabytha terus kelihatan gembira seperti itu.
“Hai… tak payahlah. Ayah I pun tak sibuk nak kahwin baru, jadi I tak ada masalah.”
“Kenapa pulak? I... keliru, tak faham apa maksud you.”
“I dah janji kat diri I sendiri, kalau ayah kahwin baru, barulah I fikir pasal kahwin.” Rabytha menjelaskan perkara yang sebenar. “Ayah I pun tak kisah sangat pasal tu. Kalau ada jodoh, hmm... insya-Allah.”
Walaupun perkara itu sekadar bahan gurauan tapi Rabytha yakin dan berjanji kepada dirinya sendiri, bahawa dia tidak akan membiarkan ayahnya hidup sendirian.
“Pulak? Ada ke macam tu. Pening kepala I,” tempelak Jo.
“Simple aje, Jo. Ayah I perlukan I dan I perlukan ayah, jadi rasanya, kami tak perlukan orang lain.”
“Oh, macam tu. Hai... entah apa-apa entah. Tak pernah I dengar kes macam ni,” sindirnya lagi.
“Memang pun, you tak payahlah nak pening-peningkan kepala fikir pasal kami. Eh, mana Qistina? Dari tadi I tak nampak dia,” soal Rabytha sambil meninjau ke sebelah atas rumah.
“Hmm… Biasalah budak bertuah tu! Dia ikut umi jalan-jalan ke Taiping. Ada-ada saja yang nak dibeli. Buku novel, komik, majalah Bintang Kecil, sticker, kad… Kalau colour pencil, sebulan mau-mau tiga empat kotak. Nak untungkan tauke kilang colour aje.”
“You ni, tak patut nak bising-bising. Dah minat dia melukis, kita patut beri dia galakan untuk mempunyai hobi seperti itu. Sebab you tahu tak, hobi boleh mendidik seseorang untuk mendisiplinkan dirinya. Dalam masa yang sama, mereka tak buang masa pada aktiviti yang kurang sihat. Betul tak?”
Wajah Jo mula cemberut. “Ialah tu. You macam perli I aje?”
“Janganlah you nak terasa. Let the past be the past. Lebih baik kita buka buku baru. Selepas ini, mungkin ada banyak cerita baru yang ingin ditulis. Kita jadikan pengalaman lama sebagai pengajaran atau teladan.” Rabytha tersenyum. Seronok pula hatinya dapat bersembang secara terbuka dengan Jo. Mereka bebas membicarakan apa sahaja, termasuk soal hati masing-masing.
Jo terangguk-angguk mengerti.
“Rabytha... Kalaulah I ada kuasa sakti.” Tiba-tiba intonasi suara Jo berubah, gemeresik seolah-olah berkata-kata kepada dirinya seorang.
“Kuasa untuk apa? You nak jadi David Copperfield?” tempelaknya, diikuti gelak tawa yang agak besar.
Jo pun ikut gelak. “Tak, I nak jadi Doraemon.”
“Hisy, tak sesuai. Ha... Bila you dah jadi Doraemon, you nak buat apa pulak?”
Rabytha tertawa geli hati.
“I akan masuk ke dalam laci dan putar masa semula. I nak padam segala memori hitam yang pernah mencacatkan perhubungan kita dulu. Manalah tahu kan, mungkin kita telah dijodohkan…” Kata-kata Jo terputus apabila Rabytha cepat-cepat menyampuk.
“Nonsense! Merepek aje.”
“Merepek? Tiada yang mustahil dalam dunia ini, Rabytha.”
“Memanglah, tapi kita hanya ditakdirkan untuk bersahabat aje, Jo. Jauh sekali sampai nak dijodohkan. Tak masuk akal betul.” Rabytha membetulkan ayat tersebut sedang maksud Jo memang ke arah itu. Jodoh. Opposite attrack.