BACA BAB AWAL DI SINI...
Cinta Hati Cikgu Rabbit ~ Bab 3
(Fajar Pakeer, 2012)
3
“UMI, terima kasih sebab dah banyak tolong keluarga kami. Kalau umi tak ada, tak mungkin kami terdaya nak buat semua benda,” luah Rabytha tatkala para tetamu mula beransur pulang. Layu kelopak matanya akibat keletihan dan kurang tidur.
Sebentar tadi, kenduri arwah malam ketiga telah berlangsung. Kaum keluarga dan jiran tetangga di sekitar perumahan itu membacakan himpunan surah al-Quran dan Yasin secara berjemaah. Bacaan tahlil pula dipimpin oleh ayahnya sendiri. Adik-beradik ayahnya telah dua malam tidur di situ. Sedikit sebanyak, kehadiran mereka dapat juga membantunya yang tidak menang tangan mengemas rumah setiap kali selepas mengadakan kenduri arwah. Sepanjang tiga hari, suasana di rumah itu sibuk kerana tugas memasak dan menyediakan jamuan kenduri dibuat secara bersama-sama.
“Sama-sama, Rabytha. Umi cuma buat apa yang sepatutnya. Arwah seorang yang baik. Dialah satu-satunya kawan umi yang paling rapat. Umi sendiri susah nak lupakan dia. Sentiasa terbayang-bayang, macamlah arwah tu masih hidup lagi,” kata Puan Sri Yasmin sambil tersenyum sedikit. Sejuk hatinya apabila Rabytha memanggilnya umi.
“Allah sengaja hendak menguji kita agaknya, sebab perasaan kita pada arwah semasa dia hidup tak sama apabila dia sudah tak ada. Kadang-kadang rasa menyesal pula.”
“Kenapa Rabytha cakap macam itu?” Puan Sri Yasmin bertanya dengan lembut.
“Rabytha selalu mengabaikan arwah mak dulu. Rabytha terlalu mementingkan diri sendiri. Kesian kat mak...” luahnya.
“Begitulah lumrahnya. Masa ada, kita tak kisah dan tak ambil peduli tentang dirinya, tapi bila dah tak ada barulah kita nak berada di sampingnya. Sekarang ni, menyesal pun dah tak guna lagi, Rabytha. Lebih afdal kita sedekahkan al-Fatihah setiap kali kita ingat pada arwah. Satu masa nanti kita pun akan mati, inilah janji ketentuan-Nya. Qadak dan qadar Allah SWT.”
“Hmm.” Rabytha mengangguk perlahan. Dia ingin menangis lagi, tapi kolam air matanya telah kontang.
“Rabytha jangan layankan sangat perasaan kecewa itu. Syaitan laknatullah sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan hamba Allah yang lalai. Umi ni bukan ingatkan untuk diri Rabytha seorang aje, tapi untuk diri umi juga.”
“Betul, umi. Astaghfirullah al-azim,” lafaz Rabytha.
“Umi minta diri dulu ya, dah larut malam ni,” pintanya lembut.
“Hmm... Umi, ini ada nasi dan lauk-pauk untuk anak dan cucu umi di rumah.”
“Eh, buat apa susah-susah? Mereka tak ada kat rumah, dah keluar ke Taiping. Cucu umi tu, kalau ke sana mesti nak singgah McD. Suka sangat dia kumpul barang mainan dalam kotak Happy Meal tu.” Puan Sri Yasmin tersenyum. Sungguh senang hatinya kerana memiliki seorang cucu yang comel. Siti Qistina ditatang bagai minyak yang penuh. Segala keinginannya dipenuhi bagai puteri raja.
“Tak mengapa, umi, tadi mak saudara Rabytha ada masak lebih. Nanti panaskan balik, buat sarapan. Esok tak payah susah-susah nak masak. Jom, biar Rabytha hantar umi,” usulnya.
“Eh, tak apa. Umi balik jalan kaki aje, bukannya jauh sangat,” tolaknya, berbasa-basi.
“Janganlah macam tu, umi. Memang tak jauh, tapi kesian umi jalan seorang-orang. Lagipun, semua kerja dah siap dan selesai.” Dia mempelawa dengan bersungguh-sungguh.
“Baiklah, kalau tak menyusahkan Rabytha. Umi pun terlupa nak pesan dengan anak umi tadi, suruh dia jemput dekat sini. Pemandu umi, Wak Ajis, tak ada di sini. Dia hantar suami umi ke Ipoh, ada function bersama MB.” Puan Sri Yasmin menurut sahaja permintaan Rabytha. Dia sendiri tidak larat hendak membimbit bungkusan makanan yang agak berat yang diberikan oleh Rabytha.
“Oh...” Tanpa membuang masa, Rabytha membukakan pintu van di sebelah penumpang lalu Puan Sri Yasmin pun masuk dan duduk di situ.
“Terima kasih,” lafaznya. Dia mengambil kesempatan itu untuk merenung wajah Rabytha yang sungguh mulus tanpa mencalit sebarang alat solek.
Seketika kemudian, Rabytha pula duduk di bangku pemandu dan meletak plastik berisi bekas makanan di bahagian tengah.
“Hmm.” Rabytha berdeham. Dia sedar umi sedang merenungnya dan berasa agak segan apabila dibuat sedemikian rupa. Lantas dia tersenyum.
“Anak umi dah balik ke sini ke? Err... Dia kerja di mana sekarang?” Rabytha memulakan pertanyaan mengenai Jo, kenalan lamanya itu. Dia sengaja tidak menyebut nama panggilan anak Puan Sri Yasmin akibat malu.
Setelah bertahun-tahun lamanya, siapa sangka pada pagi itu mereka bersua secara tidak sengaja. Mereka telah berhubung semula melalui telefon. Dalam diam, Rabytha mengingati semula kelunakan suaranya beberapa hari yang lepas. Entah apa cerita dia sekarang. Juga cerita rakan baiknya, Rita. Mengapa mereka senyap saja semenjak balik ke Malaysia? Tak ada langsung kiriman kad jemputan atau e-mel. Dia pun pelik, kenapa pasangan itu masih belum berkahwin setelah bertunang begitu lama. Err... atau sebetulnya, mereka dah berkahwin senyap-senyap di sana? Mungkin juga.
“Jo tu kerjanya tak tetap. Sekejap di Penang, sekejap di Taiping, sekejap di Ipoh, sekejap di KL. Memang payah kerja seperti dia tu. Dah banyak kali umi suruh dia berhenti dan bekerja aje dengan ayah dia, tapi macam-macam alasan dia bagi. Dah naik meluat telinga umi ni dengar.”
Rabytha tersenyum. Ingin sahaja dia bertanya lebih lanjut mengenai lelaki itu, namun lidahnya seperti terkunci. Dia masih tidak dapat hendak membayangkan rupa anak Puan Sri Yasmin di masa ini. Di masa lalu, Jo memang seorang yang kacak. Mewarisi wajah uminya yang berketurunan Arab, Syarifah Yasmin, yang kini bergelar Puan Sri. Kata orang, elok benar kalau anak lelaki mengikut muka emak.
“Ha... Dah sampai pun rumah umi,” ujar Rabytha.
“Ha’ah, kejap sangat. Tak panas pun punggung umi ni. Cerita pun tak sempat nak masuk bab yang lain,” selorohnya.
Rabytha tergelak. “Biar Rabytha tolong umi angkat bungkusan makanan ini,” gesanya.
“Eh, tak apa. Kesian Rabytha, umi boleh bawa sendiri. Jom masuk dulu,” ajak Puan Sri Yasmin pula.
Rabytha berkira-kira hendak turun ataupun tidak. Matanya seakan-akan terpukau melihat keindahan banglo milik keluarga Puan Sri. Tembok pagarnya sahaja sudah dihias indah dengan teknik tampalan batu berukiran bunga. Rabytha cuba membayangkan ruang dalamannya pula, pastinya memiliki elemen eksklusif.
“Rabytha!”
“Ha?” Rabytha terpinga-pinga apabila terdengar namanya dipanggil.
“Masuk dulu,” ulangnya sekali lagi. “Tak sudi ke?”
“Tak apa, umi, lain kali aje. Dah lewat sangat ni. Apa pulak kata ayah di rumah nanti?” Rabytha menolak dengan sopan.
“Hmm. Rabytha dah janji, lain kali mesti datang ke sini.” Puan Sri Yasmin sengaja mengugutnya begitu. Niat sebenarnya lebih pada gurauan semata-mata.
“Okey, Rabytha janji. Umi, Rabytha minta diri dulu. Assalamualaikum,” kata Rabytha sebaik sahaja usai bersalaman dan mencium pipi kanan dan kirinya.
“Waalaikumussalam. Baik-baik bawa van tu,” ujarnya.
“Rabytha pandu aje ni, tak larat nak bawa,” guraunya pula. Meletus tawa Puan Sri Yasmin dengan kata-kata Rabytha. Boleh tahan juga anak arwah Diba ni.
Rabytha melambaikan tangannya kepada Puan Sri Yasmin yang masih tegak berdiri di tepi tembok pagar. Serentak dengan itu, pintu pagar rumahnya yang diperbuat daripada besi padu itu terbuka secara automatik. Beberapa buah kenderaan mewah bersusun di bawah anjung rumah yang berbumbung tinggi. Lantas, tumpuan Rabytha kembali beralih ke hadapan seraya menekan pedal minyak. Dia mahu cepat-cepat sampai ke rumah untuk merehatkan diri agar bertenaga kembali.
Setelah tiga hari, Rabytha bertekad untuk mengubah prinsip hidupnya semata-mata untuk menunaikan hasrat arwah emaknya.
“UMI baru balik ke? Jo ingatkan tadi umi dah tak nak balik. Manalah tahu, semenjak dua menjak ni, sibuk betul dengan kenduri-kendara. Siang malam sibuk 25 jam,” sindirnya dalam gurauan. Jo hanya berdiri di muka pintu rumah sewaktu menyambut kepulangan Puan Sri Yasmin. Dia kemudian beralih ke tepi untuk memberi laluan.
“25 jam?” soal Puan Sri Yasmin.
“Ha’ah.” Jo mengangguk.
“Dua kali lima, lima kali dua. Paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih,” tempelak emaknya.
Meletus tawa Jo.
“Kata pergi kenduri, kenapa lama sangat?” soalnya seperti budak kecil. Sebetulnya, dia berasa bimbang kerana emaknya tiada di rumah sedangkan dia dan Siti Qistina telah lama pulang dari restoran makanan segera, McDonalds.
“Hisy, kamu ni, Jo, tak baik kata macam tu. Kalaulah ahli keluarga arwah tu dengar, tentu mereka kecil hati. Salah ke kalau umi pergi ke rumah arwah Cik Diba tu? Arwah dulu tak pernah pun berkira dengan umi. Sampai ke hari ini, umi masih rasa terkilan sebab dia dah tak ada tau.” Puan Sri Yasmin tiba-tiba beremosi.
Jo tersengih-sengih sahaja macam kerang busuk melihat muncung emaknya yang panjang sedepa.
“I’m really sorry. Umi, Jo bergurau aje. Tak sangka umi ambil hati. Err... Siapa yang bawa van Serena tadi? Baru nak tegur dah lesap.” Cepat-cepat dia menukar tajuk agar emosi emaknya reda.
“Anak arwah yang tinggal di KL. Apa pasal pulak Jo nak sibuk-sibuk ni? Petang tadi, masa umi ajak ke sana macam-macam alasan Jo bagi,” cecehnya terus. Memang dia geram dengan perangai si bujang yang suka mengelak apabila diajak menyertai kenduri yang diadakan di masjid mahupun di rumah jiran tetangga.
“Dah kebetulan Jo janji dengan Girl, nak buat macam mana lagi? Umi pun tahu kan perangai Girl tu, tak ubah macam Afi masa kecil-kecil dulu. Kalau dah kata dia, memang semua kata dia aje yang betul.” Jo mengungkit cerita lama. “Layan ajelah,” sambungnya.
“Orang yang dah tak ada, tak baik disebut-sebut lagi, Jo,” desis Puan Sri Yasmin kemudian. Sesekali dia akan menegur sikap Jo yang suka mengungkit kisah Siti Wafiah yang sudah tiada lagi di muka bumi ini.
“Sorry.” Jo menepuk dahinya dan menyesal kerana terlepas cakap. Dia merangkul mesra bahu emaknya dan menggamitnya masuk ke dalam rumah. Sengaja dia berbuat begitu untuk mengambil hati.
No comments:
Post a Comment