BACA BAB AWAL DI SINI...
Cinta Hati Cikgu Rabbit ~ Bab 2
(Fajar Pakeer, 2012)
2
SEBAIK sahaja keluar dari perut teksi, jantungnya mula berdegup-degup kencang. Dari simpang lagi dia sudah nampak kereta-kereta di sepanjang tepi jalan raya ke arah rumahnya. Jika tadi dia berjaya menghakis segala andaian yang mula bertamu namun kini, segalanya nyata terhidang di ruang matanya. Rabytha terkaku di pintu pagar besi kecil di hadapan rumahnya tatkala melihat jasad mak telah terbujur kaku di ruang tamu. Sehelai kain batik lepas Jawa berwarna coklat muda menyelimuti seluruh tubuhnya.
“Rabytha!” Kak Noi yang kebetulan berada di luar menyapanya, namun Rabytha hanya diam membisu.
Tiba-tiba sahaja Rabytha memekik, “Mak!” Itulah kali pertama Rabytha menjerit sekuat-kuat hatinya. Dengan semahu-mahunya. “Mak!”
Ingin sahaja Rabytha berlari, namun rasanya telah hilang segala daya kekuatan di kedua-dua belah kaki, lalu dia jatuh tersungkur ke lantai. Alam yang nyata pun berubah gelap.
Secara perlahan-lahan, kepalanya ditoleh ke arah rumahnya. Segala-galanya masih sama. Tidak berubah sedikit pun.
“Mak, jangan tinggalkan Rabytha,” rintihnya.
Rabytha tertunduk dan menangis hiba. Perasaan sebak yang mencengkam ke dalam jiwanya bercampur baur dan tidak dapat disembunyikan lagi. Mujur ada beberapa orang jiran yang cuba menenangkannya. Dua orang daripadanya membantu gadis itu agar berdiri semula. Mereka memapah tubuh Rabytha dan membawanya rapat ke sisi jasad Ras Adibah. Jasad yang telah bercerai dengan nyawa kurang lebih empat jam yang lalu.
“Mak!” panggilnya. Dahinya mula berkerut-kerut. Dia berharap sangat maknya akan bangun setelah mendengar suara panggilannya. Namun demikian, walaupun puas dia meraung, mak akan kekal begitu juga. Mak tak akan hidup semula.
Tiada lagi sahutan yang biasa diterima, Ya, sayang. Sayang dah balik? Rabytha mengangkat muka lalu merenung wajah emaknya yang tampak tenang. Bagaikan terdengar suara gemeresik emaknya sayup-sayup di kejauhan. Rabytha memeluk jasad emaknya yang masih lembut dan hangat. Malah, bau pada tubuh itu sungguh harum. Seperti emak sedang tidur lena.
“Mak... Rabytha dah balik, mak. Rabytha minta maaf, Rabytha tak patut buat mak macam ni. Sekarang... Rabytha dah tak ada mak lagi,” teriaknya.
“Mak... mak bangunlah, Rabytha dah balik ni,” lirih suaranya, merintih-rintih tanpa peduli. Air mata merembes ke pipi tanpa dapat dihalang lagi.
“Mak!” panggilnya lagi. Dia membenamkan wajahnya ke dada jasad emaknya. Tanpa mempedulikan khalayak di situ, Rabytha memeluk tubuh emaknya erat-erat. Seakan-akan sedang tidur sahaja.
Ada yang turut sebak lalu tidak dapat menahan air mata daripada keluar apabila melihat keadaan itu. Sesungguhnya, kematian adalah pasti. Hanya Dia yang berhak menentukan ajal maut para hamba-Nya.
Ada seseorang menyentuh lembut bahunya. Rabytha masih tidak mahu berganjak biarpun sedar perbuatannya tidak baik di sisi agama. Adalah tidak wajar tubuh jenazah disimbahi dengan air mata. Rohnya mungkin tersiksa.
“Sabar, Rabytha, Allah lebih sayang dia daripada kita semua. Lepaskanlah dia, biarlah dia pergi dengan tenang. Kita hantar dia ke alam barzakh dengan jiwa yang luhur.”
Kedengaran satu suara cuba memberikan perangsang dan seterusnya memotivasikan dirinya. “Tapi...”
“Sabar dan reda. Ini janji Allah, Rabytha.” Dia menasihati Rabytha lagi dengan sebaik-baiknya. Sebagai seorang Muslimah, Rabytha tentu faham apa yang ingin disampaikannya. Dia mengurut-urut belakang tubuh gadis itu dengan lembut.
Sedikit demi sedikit, kekuatan dalam diri Rabytha mula pulih. Air matanya sudah berhenti mengalir. Dia merenung wajah emaknya buat sekian kalinya sebaik sahaja meregangkan pelukan.
“Kuatkan semangat. Rabytha anggaplah umi ni macam mak Rabytha sendiri ya,” tekan suara itu lagi.
Rabytha mengangkat muka lalu memandang wajah pemilik suara itu lama-lama. Wanita separuh abad itu merupakan rakan baik kepada arwah emaknya. Tak semena-mena, dia memeluk tubuh wanita itu pula. Terhinggut-hinggut dengan esakan panjang.
Puan Sri Yasmin memaut kemas tubuh gadis itu. Walaupun jarang bertemu, dia dapat merasakan ada ikatan yang terjalin antara mereka berdua. Tangannya mengusap-usap bahu gadis itu. Puan Sri Yasmin teringatkan seseorang. Dia yang sangat dirindui telah pergi buat selama-lamanya. Anak perempuannya, Siti Wafiah, telah lama meninggal dunia.
“Sabarlah. Dunia ini hanya pinjaman. Satu hari nanti kita juga akan kembali kepada-Nya,” bisiknya lembut.
Rabytha teresak-esak di bahu wanita itu tanpa rasa malu. Pelukan hangat yang diterima bisa mengubati kerinduan kepada arwah emaknya.
Dari jauh, Cikgu Amran hanya mampu memerhati keadaan anak gadisnya sedang ditenangkan oleh jiran tetangga. Dia baru sahaja pulang dari balai polis berhampiran untuk membuat laporan perihal kematian arwah isterinya. Seterusnya, dia berjumpa dengan beberapa orang jemaah masjid untuk urusan pengebumian. Saudara-mara daripada kedua-dua belah keluarga masih belum tiba. Hanya jiran tetangga dan rakan-rakan yang memenuhi ruang tamu rumah itu. Segala perabot telah pun dipindahkan ke luar rumah iaitu di bawah anjung. Bacaan al-Fatihah dan surah Yasin dihadiahkan kepada arwah.
DI dalam dan di luar rumah, suasana amat hening dan syahdu. Berita kematian Puan Ras Adibah benar-benar mengejutkan. Tiada sesiapa pun mampu menduga bahawa sesungguhnya wanita cekal itu sebenarnya pesakit kanser rahim. Sesungguhnya, kekuasan Allah mengatasi segala-galanya. Wanita yang dipanggil Cikgu Diba oleh anak-anak asuhannya di Tadika Cahaya Nilam Sari itu sangat dikenali kerana sifatnya yang peramah, penyayang dan aktif dalam persatuan. Dia juga merupakan peneraju kumpulan wanita dan telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat sekitar.
Dengan bimbingannya yang tidak pernah mengenal erti jemu dan penat, rata-ratanya telah mula tersedar daripada mimpi. Sedikit demi sedikit, mereka mengenal erti pembangunan. Taraf ekonomi mereka turut terjana dan kian meningkat dengan produktiviti yang terhasil daripada pelbagai sumber.
Tapi apakan daya, usahanya terhenti sekerat jalan. Pemergian Puan Ras Adibah merupakan tamparan hebat dan satu kehilangan besar. Apatah lagi kepada satu-satu anak perempuannya, Rabytha Amani. Gadis yang sudah menginjak ke alam dewasa itu tidak dapat menerima kenyataan bahawa emak tersayang telah tiada lagi di dunia ini. Paling dia terkilan kerana tidak sempat menghadap wajah emaknya pada saat-saat akhir. Dia masih belum puas menatap sinar mata mak yang mendamaikan. Rasanya, begitu banyak cerita yang ingin disampaikan kepada mak. Dia masih mendambakan pelukan hangat mak.
Rabytha tidak dapat menahan dirinya. Perasaan sedih, kecewa, sesal dan segala-galanya dimuntahkan dengan air mata. Menangis dan menangis. Dia teringatkan e-mel terakhir daripada mak. Satu permintaan yang membuatkan fikirannya berbelah bagi. Tanggungjawab yang disandarkan ke atas bahunya sungguh berat. Tadika Cahaya Nilamsari memerlukan pengganti. Waris yang layak adalah dirinya sendiri. Dia perlu membuat pilihan. Antara harapan mak dan impiannya sendiri. Sudah sekian lamanya dia merantau ke ibu kota, menuntut ilmu dan kemudian bekerja.
Rabytha akur, kini tiba masanya untuk dia berhijrah semula ke sini. Kehidupan memang sentiasa ada perubahan, bagaikan musim yang silih berganti. Kadang-kadang tengkujuh, kadang-kadang kemarau berpanjangan. Dalam sekelip mata sahaja takdir telah mengubah corak masa depan kerjayanya. Dan, itulah pengorbanan yang paling indah yang dapat dihadiahkan kepada arwah emak.
Kehadiran rakan-rakan serumah bersama rombongan rakan sepejabat dari Shah Alam untuk berziarah dan memberi ucapan takziah menambahkan lagi kesedihan yang bersarang di jiwa. Satu per satu wajah mereka ditatap dengan perasaan berat. Nampaknya, dengan pemergian emak, itu juga merupakan perpisahannya dengan mereka semua.
No comments:
Post a Comment