BACA BAB AWAL DI SINI...
Cinta Hati Cikgu Rabbit ~ Bab 6
(Fajar Pakeer, 2012)
6
“GIRL makanlah... kesian abah makan seorang-seorang tu,” pujuk Puan Sri Yasmin beberapa kali namun Siti Qistina tetap membisu. Mulutnya sudah memuncung.
“Tak mahu!” jeritnya tanda protes. Keseluruhan wajahnya dibenamkan di antara dua lututnya.
“Alah, umi, biarkan dia... Nak merajuklah tu,” kata Jo sambil menyambung suapan demi suapan. Laksa Penang masakan uminya memang terbukti kelazatannya. Kuahnya, sungguhpun pedas, tapi tetap menggiurkan tekak. Apatah lagi jika perut sedang kosong.
“Hisy, kamu tu... dengan budak pun tak boleh nak mengalah.”
“Dah tu... Dia mintak yang bukan-bukan, tak kuasa.” Jo membebel sambil menjeling Siti Qistina yang kaku membelakangkannya.
Siti Qistina sedang duduk di bawah sebuah pangkin alunan air pancur buatan daripada sebuah pasu besar. Sesekali ikan-ikan koi melompat di permukaan kolam, mencetuskan suasana yang cukup mendamaikan. Kadangkala, jika ada masa dia juga akan turut melepak-lepak di situ.
“Habis tu, silap kamu jugak yang suka memanjakan dia. Apa yang dia nak, semua dia dapat, ha... sekarang kamu nak bangkang kemahuan dia pulak.” Puan Sri Yasmin memulangkan paku buah keras.
“Umi... umi tahu tak?” soal Jo pendek.
“Apa dia?”
“Ada ke patut Girl suruh Jo ke sekolah dia, jumpa dengan cikgu dia tu. Cikgu Rabbit? Dah tu, dia suruh Jo bawa bunga sebagai hadiah pada hari kekasih. Entah apa-apalah budak seorang ni. Entah-entah, cikgu tu dah ada laki. Ha... tak ke naya tu?”
“Betul ke Girl kata macam tu?” soal Puan Sri Yasmin, sudah tidak dapat menahan diri. Lalu terburailah tawanya.
“Umi, kenapa umi rasa seronok pulak ni? Sukalah tu! Entah-entah, ini semua idea umi?”
“Tak adalah! Umi geli hati. Girl tu kecil-kecil dah pandai nak carikan jodoh untuk kamu, Jo.”
“Itulah pasal! Dah tak ada benda lain ke yang dia nak fikir? Budak-budak perempuan kan memang suka main pondok-pondok, lepas tu berangan nak kahwin, nak ada baby...” ceceh Jo.
“Dah nama pun perempuan. Kalau kecil-kecil tak suka buat benda-benda macam tu... umi rasa memang sahlah tak normal. Kamu ni, Jo, dengan budak-budak pun nak ambil hati. Bukan luak pun kalau kamu ikut apa yang dia suruh tu. Kamu tak teringin ke nak jumpa cikgu baru anak kamu tu?”
“Abah,” sampuk Siti Qistina tiba-tiba.
Jo dan uminya berpaling ke arah suara itu.
“Hmm...” Jo berdeham sahaja, manakala Puan Sri Yasmin menjongket kening seraya tersenyum sumbing.
“Ha... ada pun suara. Ingatkan dah jadi puteri bisu,” ajuk Jo. Bukannya dia tak biasa dengan perangai budak perempuan itu, yang mirip sekali dengan arwah Siti Wafiah.
“Jangan lupa, bunga mawar sekuntum... Maknanya only you. Warnanya mesti putih tau,” arahnya satu per satu persis gaya seorang bos besar kepada kulinya. “How nice and lovely!”
“If you really like it, then why not I just give you one?” bidas Jo pula. Dia sengaja menduga gadis cilik itu.
“Nope! Aiman will give one for me!” jawabnya selamba.
“What!” Berkerut-kerut dahi Jo dengan mata hampir terjegil.
“Come on, abah, just one please... One for my dear Cikgu Rabbit.”
Jo terus membulatkan matanya. Huh, dah melebih-lebih pulak budak seorang ni! Ingat aku ni Mat Romeo ke? soalnya sendiri.
“Okay, but firstly tell me, who’s Aiman actually?” soalnya lanjut. Dia perlu ambil tahu sebelum perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
“Aiman is my special friend!” bentaknya dengan gaya angkuh. Sebiji arwah Siti Wafiah.
Jo mengeleng-gelengkan kepala. Ternyata begitu sukar untuk dia menangani isu yang kecil seperti itu. Masalahnya, Siti Qistina baru berusia enam tahun. Entah bagaimana pula bentuk masalah di masa akan datang?
“Kawan sekelas Girllah, Jo, anak Encik Din. Kamu ni kalut betul. Biarlah dia nak kawan dengan budak tu,” jelas Puan Sri Yasmin lebih memihak kepada cucunya.
“Umi, bukan Jo nak halang dia berkawan tapi dia mesti pandai pilih kawan, especially boys! Kalau dah tersalah pilih kawan ha... merana seumur hidup!” luah Jo. Dia membayangkan perihal dirinya yang pernah melakukan kesilapan dalam memilih kawan.
“Alah, budak-budak! Lebih-lebih lagi Girl ni yang paling cantik di sekolah tu. Sudah tentulah ramai budak nak kawan dengan dia. Kalau kamu tak bagi dia berkawan, mereka akan pulaukan dia pulak,” tempelak Puan Sri Yasmin.
Betul juga, desis di hati Jo.
“Abah jangan risau, Girl akan tetap sayangkan abah sampai bila-bila,” kata Siti Qistina duduk di sisi Jo seraya menghadiahkan sebuah kucupan di pipinya. Lalu dia mula menyudu kuah ke dalam mulut.
“Hmm... yummy! Sedap sangat.” Siti Qistina membuat isyarat good dengan ibu jarinya.
“Kalau makan panas-panas lagi sedap. Dah, habiskan cepat kuah tu,” arah Puan Sri Yasmin.
Jo menjongket keningnya dan mencebik. “Nak jack opahlah tu,” sindir Jo.
“Hehehe! Abah...” seru Girl.
“Emm.”
“Ingat tau. White rose.”
“Ha... abah tahulah, abah ingat. Abah belum tua tau! Abah boleh belikan white rose tu dengan syarat...”
“Okey. Apa syarat abah?”
“Girl janji tau, jangan buat nakal kat sekolah dan belajar bersungguh-sungguh dan kekalkan nombor satu.”
“Okay, no sweat.”
“ERR... excuse me. Boleh tanya tak? Di mana... Cikgu Rabbit?” tegur Jo.
Buat seketika gadis itu agak menggelabah sedikit tetapi wajahnya agak tegang, seolah-olah tidak senang dengan perkataan yang digunakannya sebentar tadi.
“Encik nak jumpa siapa ya?” soalnya semula meminta kepastian.
“Cikgu Rabbit. Cikgu baru yang mengajar anak saya yang berusia enam tahun.”
“Eh, kat sini mana ada Cikgu Rabbit? Maaflah, saya rasa encik ni dah salah sekolah,” tempelak gadis yang berdiri di muka pintu itu. Dia tidak menggunakan dialek bahasa tempatan.
Sungguh kurang sopan. Apa rabbit-rabbit? Suka-suka dia nak panggil aku macam tu, ingat aku ni keturunan rabbit ke? Rabbit jadian... Ada ke patut! Dia menggerutu dalam hati.
Jo terkejut. Gara-gara Siti Qistina, tak pasal-pasal dia kena sebiji.
“Eh, memang betul sekolah ini! Itu ha… nama anak saya, Siti Qistina dalam pinggan kertas yang tergantung itu,” tudingnya. Lurus jari telunjuk Jo menghala ke arah sekeping pinggan kertas yang digantung dengan benang pada bawah siling.
Buatan pelajar menggunakan kreativiti sendiri. Ada yang diwarnakan seperti pelangi dan ada juga yang dilekat dengan gam, bergemerlip-gemerlap.
Rabytha mengecilkan anak matanya, “Eh, encik ini ayah Siti Qistina ke? Kalau tak silap saya dia tu anak yatim piatu, kan? Dia dah tak ada emak dan ayah. Tapi...” Berkerut kening Rabytha, cuba mengingati sesuatu.
“Begini, cikgu, maafkan saya. Sebenarnya nama saya Mohd. Yusoff, saya ni cuma uncle dia aje. Siti Qistina tu anak arwah adik saya… Siti Wafiah,” jelas Jo dengan panjang lebar. Serba salah pula dia kerana mengaku Siti Qistina sebagai anaknya hingga membuatkan gadis itu keliru.
Memang dari kecil lagi, hubungan Jo dan Siti Qistina bagaikan ayah dan anak. Sebab itu, dia lebih suka memperkenal dirinya sebagai ayah. Siti Qistina pula bagaikan sudah terbiasa memanggilnya abah.
Rabytha memandang tubuh lelaki itu dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas semula. Bebola matanya membundar. Dalam diam dia cuba membuat perbandingan. Mohd. Yusoff? Kalau Mohd. Yusoff uncle Siti Qistina jadi... bermakna dia ialah anak kepada Puan Sri Yasmin dan Tan Sri Abd. Wafi. Jika betul dia Mohd. Yusoff, bermakna dia juga ialah seseorang yang pernah aku kenali dahulu. Jo!
Tiba-tiba jari di tangan kirinya dipetik hingga mencetuskan satu bunyi yang agak kuat. “Patutlah,” getusnya. Dia mencebik dan tergelak.
“Apa yang patut?” soal Jo laju kerana ingin tahu apa sebabnya tiba-tiba sahaja gadis itu bersuara setelah agak lama membisu. Wajahnya yang gusar telah berubah ceria, seperti ada tabir yang telah tersingkap.
“Hmm... Siti Qistina... err...” sambung Rabytha tergagap sekejap seraya menyeringai. Sebetulnya dia mahu ketawa namun ditahankan sahaja.
“Kenapa?” Jo bertanya, masih tidak berpuas hati. Tentu ada sesuatu yang menyebabkan cikgu itu kelihatan kurang selesa begitu.
“Siti Qistina.”
“Jadi, kenapa dengan anak buah saya tu?” ulangnya lagi.
“Dia suka sangat bercerita. Dia kata, ayahnya selalu membantunya membuat kerja sekolah. Tapi saya selalu terfikir, ayahnya kan sudah lama meninggal dunia...” ceritanya.
“Cikgu ni tentu dah fikir yang bukan-bukan. Cikgu ingat roh ayah dia nak datang tolong dia buat kerja sekolah ke?” Jo menyindir dalam gurauan.
“Err... entahlah! Manalah tahu, kan? Perkara ghaib seperti itu bukan mustahil. Dengan kuasa Allah, semuanya boleh berlaku.” Rabytha tergelak.
Tiba-tiba angin di luar menderu agak kuat lantas melayangkan kertas-kertas yang berada di atas meja. Dia berlari laju ke dalam kelas dan cepat-cepat memungutnya kembali. Jo hanya memandang dengan perasaan curiga.
“Kalau tak keberatan, boleh tak tolong tutupkan tingkap tu? Nampaknya angin dekat luar tu semakin kencang. Mungkin hari nak hujan.”
“Boleh... boleh. Cikgu ni… bukan orang sini ke?” soal Jo pula seraya menutup daun tingkap di bilik kelas itu.
“Kenapa? Oh… agaknya sebab saya ni bercakap pakai bahasa TV?”
“Ha’ah,” jawab Jo.
“Saya ni dah lama merantau ke KL. Encik pulak?” Rabytha bertanya semula, bekas wartawanlah katakan. Menemu bual secara dua hala.
“Emm… saya ni kira terbalik pulak sebab saya dan umi saya sudah lebih 15 tahun merantau ke sini. Ikut bapa semenjak dia aktif dalam politik. Tapi sampai sekarang saya masih tak berapa fasih cakap seperti orang sini.”
“Hmm… betul juga. Umi encik, Puan Sri Yasmin, kan? Dulu, dia dengan arwah mak saya memang kamcing.”
“Betul ke? Err… maaflah. Saya ni memang kurang bercampur dengan orang. Lagipun, bapa saya ada dua rumah, satu di sini dan satu lagi di PJ jadi apabila bercuti sekolah, saya selalu ikut dia ke sana.” Sebetulnya, bukan setakat ada dua rumah... tetapi ada dua bini juga.
“Lepas tu Encik Yusoff sambung belajar di mana?” Rabytha menyampuk.
Dia masih ingat-ingat lupa tentang perkembangan diri lelaki itu kerana dia juga jarang benar balik ke kampung. Kalau ada pun, tiga bulan sekali atau semasa cuti hari raya Aidilfitri. Tuntutan tugasnya dahulu sungguh ketat, memerlukan masa dan komitmen yang sepenuhnya. Namun, kehidupannya kini lebih tenang. Di sini, dia dapat menghirup udara segar. Di sini, ada kedamaian sebenar. Di sini, segalanya tulen dan semula jadi.
“Indiana. Ni dah kerja, merata-rata saya merantau. Sampai umi duk berleter tak habis-habis,” ceritanya.
Gadis di hadapan mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.
Jo membalas renungan itu. Entah kenapa, hatinya teruja pada kerlingan mata itu, yang dihiasi alis lebat melentik dan kening yang cantik melengkung. Ada tahi lalat sebutir di sudut kening kirinya, menambah seri pada kulit wajah yang bersih dan lembut. Jika dinilai daripada segi penampilan, Jo menganggak tentu gadis ini masih belum berpunya. Tiada langsung barang kemas seperti cincin atau gelang pada kedua-dua belah tangannya. Cuma seutas jam tangan terpakai di tangan kiri. Tahi lalat itu seperti pernah dilihat sebelum ini. Hampir-hampir mengingatkannya kepada seseorang...
“Bercakap pasal umi encik, dia tak datang ke? Sekejap lagi kami sudah hendak mulakan mesyuarat.”
“Err... Umi kurang sihat, jadi saya datang untuk mewakilinya dalam mesyuarat yang akan diadakan petang ni.” Suara Jo kedengaran sedikit gugup.
“Oh, macam tu… Mesyuarat itu diadakan di bangunan sebelah. Nanti saya tunjuk tempatnya. Dan… nama saya Rabytha Amani,” terang gadis itu sambil mengeja perkataan yang salah, satu per satu. Dia tersenyum sambil mengelengkan kepalanya yang kemas bertudung.
Rabytha Amani… macam pernah dengar, tapi… di mana ya? desis di hati Jo.
“Ops! Tapi… kata Girl eh, Siti Qistina, nama cikgunya… Cikgu Rabbit. Jadi saya pun main percaya aje. Maaf ya, cikgu. Lagi satu... sekejap eh.” Jo membuka beg sandangnya dan mengeluarkan sekuntum bunga mawar putih yang dibalut dengan plastik lembut bercorak bunga kecil-kecil. “Ini untuk Cikgu, hadiah sempena hari kekasih.”
“Untuk saya? Betul ke ni?” Gadis itu terperanjat ketika melihat hadiah yang sangat istimewa itu. Alangkah indahnya, jika betul dia menerima hadiah daripada seorang kekasih hati.
“Permintaan Siti Qistina kalau tak dilayan, nanti rajuknya berpanjangan. Bersungguh-sungguh dia minta saya hadiahkan cikgunya sempena hari kekasih.”
“Oh, terima kasihlah. Pandai dia pilih warna, ros putih memang cantik!” Rabytha menyambut pemberian yang dihulurkan. Lama dia merenung bunga tersebut lalu membaca isi kandungan kad yang terletak di atasnya.
Only you!
“Saya harap cikgu tak kisah atau salah faham pulak. Lagipun, bunga plastik aje. Nak beli yang betul nanti cepat pula layu.” Jo hanya berbasa-basi. Malunya bukan kepalang namun dia terpaksa berlagak selamba.
Rabytha tertawa kecil. Bukan disebabkan keaslian bunga itu. Padanya, tulen atau palsu sudah tidak menjadi pokok penting dalam membuat pilihan kerana kedua-duanya tetap memiliki keindahan yang sama.
Sebetulnya, dia tidak dapat menahan dirinya daripada berasa terkejut dengan penampilan Jo. Terutama pada bentuk tubuhnya yang mantap. Mungkin berisi sedikit jika nak dibandingkan sewaktu zaman sekolah. Cuma kaca mata tanpa bingkainya itu yang menjadi penyelamat. Jika diteliti betul-betul, Jo nampak lebih tampan daripada dahulu. Air mukanya bersih. Tenang sahaja. Raut wajahnya banyak mengikut uminya, Puan Sri Yasmin. Tanpa sengaja dia sudah tersenyum. Cepat-cepat dia menutup mulut agar tidak ketara sikapnya. Tidak patut dia mempermainkan keluarga para pelajarnya.
“Kenapa, cikgu?” Kening Jo berkerut-kerut. Sikap gadis itu agak misteri. Seolah-olah dirinya sedang ditelanjangkan oleh pandangan matanya yang nakal.
“Saja… nak tergelak, takkan tak boleh kut?”
“Kita ni… pernah ke jumpa di mana-mana?” Jo ingin mengutarakan persoalan itu tapi Rabytha terlebih dahulu mencelah.
“Rules dekat sini… sesiapa yang buat salah, dihukum rotan atau paling tidak didenda, enjut ketampi sepuluh kali,” terang Rabytha dengan senyuman masih meniti bibir.
Jo jadi terkesima. Apa betul ke Cikgu Rabbit ni, aku yang dah nak season ni disuruh enjut ketampi? Boleh tahan juga garangnya.
“Hah, Jo, bila you nak mula?” Rabytha cuba berlagak seserius mungkin.
“Eh, wait a minute… How come you know my nick name?” soalnya dengan pantas.
Gadis itu mengulum senyuman penuh bermakna sambil melangkah pantas ke dalam pejabatnya yang berada di hadapan kelas. Pintu pejabat yang masih dipegang dibiarkan terbuka. Lalu diselitkan penyendal pintu dengan menggunakan kakinya sahaja.
Jo ikut masuk lantas duduk di kerusi yang disediakan untuk tetamu.
Sambil tersenyum, Rabytha membuka sedikit bidai yang menutupi dinding kaca dengan menarik tali yang tergantung di tepinya. Dia mencapai alat kawalan jauh dan menekan suis on. Alat itu dihalakan ke arah penghawa dingin yang terpasang pada siling.
“Siapa boleh lupa… Jo, you ni memang tak berubah-ubah. Macam dulu juga. Funny and vulnerable. You still got your own style. Ingat tak… secret admirer kat sekolah dulu... dan Bee. Kelakar betul kalau kita ingat balik zaman sekolah dulu, kan?”
“Secret admirer? Si Rita tu? Hah, kenapa pulak dengan dia? Oh I see… Rabytha Amani… Bee! Jadi, awaklah yang pandai berlakon sebagai Mr. Postman.”
“Correction… Pelakon pak pacak, sebenarnya!”
“Eh, Rabytha, I tak sangka boleh jumpa you kat sini. Kalau you tak ingatkan I tadi, memang sampai mati pun I tak ingat. Maklumlah, dah berumur. Jadi, dah lama you mengajar kat sini?” Wajah Jo bertukar ceria. Hatinya sungguh gembira kerana akhirnya bertemu juga dengan buah hatinya. Jika diikut-ikutkan, mahu saja dia memeluk dan mencium Rabytha yang kini berada di hadapannya itu. Hisy!
“Baru tahun ni… Sebenarnya I ambil alih business ni daripada arwah mak I. Dia meninggal dunia kerana penyakit kanser. I tak sempat menghadap wajahnya di saat dia menghembuskan nafas terakhirnya. Cuma... dia sempat menghantar e-mel pada I supaya pulang ke sini agar mengambil alih tugasnya yang akan ditinggalkan.”
La... rupa-rupanya, memang betullah si Rabytha ini yang bercakap dengannya pada awal pagi itu. Bibir Jo tersenyum sedikit. Tanpa disedari Rabytha, Jo mengambil kesempatan itu dengan mengamati setiap sudut wajah Rabytha. Matanya yang beralis lebat, bibirnya yang nipis bergincu merah jambu, kulit wajah yang lembut dan hidung Melayunya yang tinggi. Tahi lalat itu! Sekali pandang, pasti ada hati yang terpikat.
“Eh, baru I ingat. You kan salah seorang editor kat majalah keluaran tempatan. What a huge lost.”
Rabytha tersentak dengan ungkapan Jo itu. Setahunya, tiada siapa yang tahu dia ialah salah seorang tenaga pengarang di syarikat penerbitan yang tersohor itu kerana kerjanya hanya di belakang tabir. Secara tiba-tiba, dia teringatkan Ainur Sharita, sahabat baiknya yang telah menjadi teman istimewa Jo semenjak zaman sekolah. “Mesti Rita yang cerita kat you, kan? Emm… jadi, dah berapa orang anak you all? Mesti comel...”
“Ah!” Jo mengeluh dan meraup wajahnya yang berubah murung. “You tak tahu lagi ke?”
“Apa dia, Jo? Tahu pasal apa?” soalnya.
“Hubungan kami tak jadi dan putus di tengah jalan. Rita met another guy and got married. Dah punya anak sendiri.”
“What? Ops, sorry, Jo. I... tak tahu,” pintanya kemudian. Rasa bersalah tiba-tiba datang menghurunginya dan dia menyesal kerana telah bercakap mengikut sesedap mulut sendiri tanpa menapisnya terlebih dahulu.
“It’s okay. No big deal now.”
“Hmm. Nampaknya, I dah jauh ketinggalan. I lost contact dengan semua ex-schoolmates kita dulu.”
“Err... Tapi masih belum terlambat untuk kita berdua, harap-harapnya biarlah kekal sampai bila-bila,” pinta Jo dengan penuh mengharap. Dia dapat merasakan hubungan mereka akan lebih mesra jika dia turut serta dalam aktiviti tadika atau kawasan setempat.
Betapa selama ini tercipta jurang yang sungguh luas menjarak antara mereka berdua tanpa disedari. Jurang yang telah diisi dengan masa dan pelbagai pengalaman hidup. Sesungguhnya, masa telah mendewasakan anggota luaran di samping mematangkan sifat-sifat dalaman. Biarpun begitu, pengalaman yang dimiliki oleh mereka tidak sama.
Rabytha sedar dari tadi anak mata Jo begitu asyik merenungnya. Ada masanya, dia juga membalas pandang. Tapi tak dapat nak bertahan lama kerana dia menjadi malu apabila ditenung begitu.
“Jo, I nak minta maaf dengan you pasal kisah lama kita. I rasa malu pulak kalau nak diingat balik,” pohon Rabytha seraya tersenyum melirik. Alis matanya yang melentik terserlah cantik.
Mereka berpandangan lagi.
Rabytha menongkat dagu seraya menanti jawapan balas daripada Jo. Kelopak matanya kian redup. Namun begitu, dia tidak mampu mengawal degupan jantung yang kian laju. Bukan setakat itu sahaja. Dia jadi takut dan cemas jika rakan lamanya itu masih menyimpan perasaan dendam.
“Ah! You tak payah sebut-sebut lagi. I tak pernah ambil hati pun. Memang I berhak dihukum. Sekarang ni, bila dah dewasa barulah I sedar. I banyak main-main masa di sekolah dulu. Bukan setakat main-main aje tapi I banyak buat salah. Lebih-lebih lagi setelah I tersilap pilih kawan,” luah Jo. Kalau you nak kawan dengan I, tentu I tak buat macam tu. Hatinya berbisik kerana itulah hakikat yang sebenar.
Rabytha menarik nafas lega dan menerima kata-kata Jo itu dengan hati yang terbuka. Dia sendiri cukup kesal dengan sikap buruknya sewaktu melayan Jo. Mentang-mentang dia memegang jawatan sebagai pengawas sekolah, dia jadi terlalu sombong dan angkuh. Nama Jo tersenarai antara pelajar-pelajar yang sering didenda kerana datang lewat ke sekolah. Pernah satu ketika, Jo dan beberapa orang rakannya pernah ditangkap sedang merokok di belakang bilik kebal. Perbuatan salah laku itu terus dirujuk kepada guru disiplin dan akibatnya mereka semua telah dihukum sebat, dibotakkan kepala dan didenda mengutip sampah pada setiap hari selepas habis waktu belajar.
Ada kalanya, dia sakit hati kerana Jo tetap mendapat layanan istimewa semata-mata dia merupakan pemain bola sepak sekolah yang hebat dan mewakili sekolah di peringkat daerah atau negeri. Sebab itu Rabytha tidak duduk diam. Dia sentiasa mencari jalan untuk membongkar kegiatan buruk Jo. Pada satu hari, ada pelajar sekolah yang tampil membuat aduan kerana sudah tidak tahan dipukul oleh samseng sekolah. Apabila soal siasat dijalankan, nama Jo disebut sebagai mengetuai geng samseng itu. Mereka memeras ugut pelajar lain. Dek terlalu marah, Rabytha tidak mampu mengawal emosi lalu Jo menerima penampar sulungnya.
Ah, itu cerita lama, desis Rabytha sendiri. Siapa sangka, budak paling nakal di sekolah itu sudah berjaya dan memiliki kehidupan yang bahagia.
Buat seketika, mereka saling berpandangan dan tertawa kecil.
“Begitulah, dah lumrah dunia. Semua orang ada buat silap, kan?” luahnya.
“Marilah, Encik Yusoff, kita berkenalan dulu dengan ibu bapa yang lain. Maaflah kami sediakan kerusi kecil sebab ini saja yang ada.” Rabytha berkata dengan senyuman yang mekar pada wajah.
“Ah, nak suruh duduk bersila pun boleh... I no hal,” getus Jo.
No comments:
Post a Comment