BACA BAB AWAL DI SINI...
Cinta Hati Cikgu Rabbit ~ Bab 7
(Fajar Pakeer, 2012)
7
SEPANJANG mesyuarat berlangsung, sepasang mata itu tidak lepas menatap ke wajahnya. Bagaikan ada kuasa magnet yang amat kuat sedang berinteraksi antara mereka. Sungguh kurang sopan. Memang tidak wajar dia berkelakuan seperti itu. Apa pula tanggapan orang lain yang turut berada di situ?
Dalam melayan rasa yang tidak selesa, Rabytha cuba berlagak biasa. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Lagipun apabila difikir-fikir, tiada salahnya. Mungkin dia sendiri yang menganggap perbuatan itu sebagai satu kesalahan sedangkan, daripada perspektif yang lain, Jo merupakan salah seorang tetamu majlis yang patut dirai dan dilayan dengan sebaik mungkin.
Sebagai tuan rumah, Rabytha tiada alasan lain. Tak mungkin dia lupa dengan jawatan yang sedang disandangnya kini. Dia sendiri yang sanggup memikul tugas ini atas permintaan arwah emaknya. Tiba-tiba, wajah emak tersayang melintas di ruangan mata. Rabytha hampir tersentak apabila namanya dipanggil oleh Kak Nani, pembantunya.
Selaku pengetua, dia dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai mukadimah. Dengan sedikit gugup, dia cuba mencari sedikit kekuatan untuk membuka mulut, menyulam bicara. Semua mata sedang merenung ke wajahnya. Tidak ketinggalan sepasang mata itu. Pelik. Tidak pernah dia berasa tidak selesa seperti ini. Mahu sahaja dia pergi membawa dirinya ke tempat lain namun, tanggungjawab sebagai pengetua lebih utama. Bukan setakat tanggungjawab tetapi amanah arwah emaknya. Kini, amanah itu menjadi harapan kepada seluruh tenaga pekerja dan ibu bapa kepada pelajar.
“Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan pengerusi majlis yang dihormati dan tuan-puan yang dikasihi. Saya alu-alukan kehadiran semua kerana dapat meluangkan sedikit masa bermesyuarat pada hari ini untuk sama-sama berbincang, memberikan komen, pandangan, cadangan yang bernas bagi menjamin perkembangan fizikal dan mental para pelajar iaitu anak-anak kita.” Rabytha memberikan ucapan sebagaimana lazimnya.
Dia telah dimaklumkan oleh Kak Nani bahawa setiap tiga bulan, mesyuarat seperti ini akan diadakan untuk memberi peluang kepada AJK yang menjadi wakil kepada ibu bapa pelajar membincangkan apa-apa masalah atau cadangan mengenai sukatan pelajaran, prestasi para pelajar, aktiviti-aktiviti sukan riadah, menu makanan dan lain-lain lagi.
Di antara agenda mesyuarat kali ini adalah untuk mengadakan aktiviti bersama keluarga pelajar dan masyarakat di sekitar kawasan perumahan itu semasa cuti penggal persekolahan tidak lama lagi. Justeru, dalam ucapannya Rabytha mengajak semua AJK untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang bakal dirancang. Mereka juga boleh memanjangkan perkara tersebut kepada semua penduduk agar hasrat pihak sekolah tadika untuk membuat kerja-kerja amal jariah itu akan tercapai.
Dari petang semalam, Rabytha telah membuat kertas kerja berkenaan aktiviti yang akan dilaksanakan itu. Cuti sekolah selama seminggu itu akan bermula pada hari Sabtu. Oleh itu, para pelajar bersama anggota keluarga masing-masing akan berkumpul di sekolah tadika untuk melakukan kerja-kerja gotong-royong. Aktiviti tahunan itu turut dibuka penyertaannya kepada seluruh penduduk taman dan kampung yang berhampiran. Antara tugas-tugas yang dirancang adalah membersih longkang, memotong rumput, menanam pokok-pokok bunga, mengecat tembok, pintu pagar balai raya, dewan serba guna dan masjid. Sebagai menghargai sumbangan mereka, pihak sekolah telah merangka untuk memberikan satu ganjaran istimewa iaitu lawatan sambil belajar. Mereka merancang untuk membawa para pelajar bersiar-siar ke Bukit Merah Laketown Resort.
Sebaik saja Rabytha usai membentangkan kertas kerjanya pada mesyuarat itu dengan secara ringkas, Kak Nani bersuara dan meminta ahli jawatankuasa memberikan pendapat atau ulasan.
“Terima kasih. Cadangan daripada cik pengetua tadi telah diterima oleh semua. Pihak sekolah akan mengedarkan surat kepada semua penduduk untuk mereka ikut serta dalam aktiviti itu nanti. Manakala untuk pelajar-pelajar pula kami akan sertakan sekali dengan borang izin ibu bapa untuk membenarkan mereka menyertai program lawatan tersebut. Sekali lagi, saya bagi pihak sekolah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas sokongan dan kerjasama baik daripada tuan-puan. Syukur alhamdulillah, hanya Allah SWT yang dapat membalasnya. Dengan itu, mesyuarat kali ini ditangguhkan. Sebagai penutup majlis, kita jemput Encik Yusoff membacakan doa. Boleh tak?” aju Kak Nani. Awal-awal lagi dia sudah menyedari aura yang saling memancar antara lelaki dan gadis yang berada di sisinya.
“Err... Err...” Tergagap-gagap Jo ketika itu kerana tidak menyangka namanya boleh terpacul dari bibir tebal si pengerusi. Jo tersengih sendiri.
“Insya-Allah, boleh,” jawab Jo kemudian. Dia mengajak mereka semua membaca ayat penghulu segala surah, al-Fatihah sebelum dia sendiri membacakan doa selamat.
“Amin. Takabballahuminkum,” lafaz Jo.
“Minnal wa minkum takabbal ya karim,” sahut semua yang beragama Islam.
“Terima kasih, Encik Yusoff. Untuk makluman tuan puan, Encik Yusoff ini merupakan anak kepada Puan Sri Yasmin. Puan Sri kurang sihat dan mewakilkan Encik Yusoff. Oleh itu, kami amat berbesar hati dengan kesudian Encik Yusoff hadir ke sini. Semoga Encik Yusoff dapat menyertai mesyuarat dan aktiviti kita di lain kali yang pastinya sangat berfaedah, baik kepada anak-anak dan diri kita sendiri.”
Pengumuman dan penerangan lanjut daripada pengerusi itu membuatkan Jo terkebil-kebil menahan perasaan malu dan bersalah. Setiap pasang mata AJK seramai 20 orang itu tertumpu ke arahnya. Mungkin dari tadi, mereka tertanya-tanya tentang kemunculan tiba-tibanya ke sekolah tadika itu. Dia pula hanya termangu-mangu sendiri, tak tahu hendak menegur mereka. Nampak sangat dia tidak pandai bersosial dengan masyarakat setempat.
“Cik Rabytha dan semua sekali dijemput menikmati jamuan yang telah disediakan di bilik sebelah.” Kak Nani menjemput mereka semua bergerak ke bilik sebelah.
Rabytha berdiri di sebelah pintu, menghadiahkan senyuman kepada semua AJK seraya memerhati mereka bergerak perlahan-lahan ke bilik sebelah. Cuma seorang sahaja yang masih duduk. Seperti sedang mengelamun. Pen di tangannya melakarkan coretan tanpa tujuan.
Rabytha merapatinya. “Encik Yusoff…”
“Hah?” Jo tersentak. “Eh, mereka semua dah balik ke?”
“Belum. Semua orang dah pergi ke bilik sebelah, ada jamuan ringan.”
“Hah, ya ke? La... tak perasan,” lafaznya, teragak-agak. Dia cuba menutup perbuatannya yang agak kurang sopan. Sempat pulak berangan di majlis orang.
“Apalah yang disibukkan sangat sampai tak perasan tu, Encik Jo?” Rabytha menjongket keningnya seraya tersenyum nakal.
Jo terkesima. Dirinya bagaikan terpukau dengan senyuman itu. Selama hidupnya di dunia, tidak pernah dia termimpi untuk semesra ini dengan Rabytha. Satu masa dahulu, Rabytha telah dicop sebagai Bee lantaran perwatakan yang garang seperti tebuan yang dijolok sarangnya. Hari ini, dia berasa sangat-sangat bertuah. Bagaikan bulan sudah jatuh ke riba.
“Helo?” panggil Rabytha. Dia tahu, hanya jasad Jo yang berada di situ sedangkan rohnya bagai hanyut entah ke mana.
“Hmm... entahlah. Tapi boleh tak kalau you panggil I, Jo?” pintanya kerana sudah terbiasa dengan panggilan ringkas itu.
Rabytha tersengih. Timbul idea nakal di ruang fikirannya. “Baiklah. Jojo, pihak tadika ada menyediakan jamuan ringan di bilik sebelah.”
“Jo ajelah,” bentaknya dengan intonasi terkawal. Dia tahu, Rabytha sengaja menyakatnya.
“Okay, next time.”
“Cikgu...” panggil Jo pula.
“I ni bukan cikgu betul, I ni cuma cikgu bidan terjun.” Rabytha berseloroh. Jelas terpancar gaya keanak-anakannya. Manja dan nakal.
Tanpa menunggu lebih lama, Rabytha terus beredar ke hadapan kelas itu. Malas pula dia nak melayan lelaki itu lagi. Jo serupa sahaja dengan bom jangka. Pantang diusik, pasti meletup.
“Cikgu... Ops, Rabytha!”
“Ya, kenapa Jo? You ada masalah ke?”
“Err... I rasa segan pulak sebab tak ada kawan. I tengok, ibu bapa yang lain macam pandang semacam kat I. Boleh tak kalau you temankan I?” Jo bertanya lanjut apabila Rabytha hanya tercegat di sisi papan putih di hadapan kelas.
“Hmm... mana ada? You aje yang perasan, Jo. Tapi... boleh juga.” Rabytha bersetuju untuk menemani Jo. Tak salah, kan? Sebagai tetamu, wajar untuk dia melayan mereka dengan sebaiknya.
“Sebelum itu, I nak kemas bilik ini dulu.”
“Okey.”
“Okey,” balas Rabytha, seolah-olah berkata kepada dirinya sendiri. Dia agak musykil dengan alasan Jo yang tidak logik. Sejak bila pula Jo jadi seorang yang pemalu? Tadi, boleh pula dia bersetuju untuk membacakan doa. Memang pelik.
“I tunggu... Err Rabytha, I tunggu you,” ujarnya. Sampai bila-bila pun, I sanggup tunggu you! sambung Jo dalam hati.
Rabytha tidak menjawab sebaliknya dia terus mengemas segala peralatan yang telah digunakan sebentar tadi.
Tiba-tiba, seorang lelaki separuh umur muncul di muka pintu dan memberikan salam. Rabytha dan Jo berpaling ke arah yang sama dan menjawab salam dengan serentak.
Rabytha terkejut. Alamak, kantoi! Tentu ayahnya mengesyaki siapakah gerangan lelaki yang sedang berada di sampingnya? Musykil jadinya kerana orang itu masih menunggu anak daranya di sini sedangkan semua orang sedang berada di bilik sebelah.
Sedang Rabytha terpinga-pinga, Jo bangun dan bersalaman dengan lelaki itu.
“Apa khabar, Cikgu Amran? Dah lama kita tak jumpa.” Jo bersuara dengan nada mesra.
“Baik,” jawabnya. Keningnya jelas kelihatan berkerut-kerut kerana tidak mampu mengingati nama pemuda itu.
“Ayah.” Rabytha mencelah setelah melihat keadaan diri ayahnya yang serba salah.
“Hah?”
“Ayah nak apa?” desisnya. Walaupun kedengaran tidak sopan namun Rabytha terpaksa bertanya kerana semenjak akhir-akhir ini, ayahnya selalu lupa. Sekejap sahaja fikirannya ghaib dan hilang ke alam lain.
“Ayah cuma nak bagi tahu, ayah nak keluar sat dengan kawan. Ayah pakai van ya?” ujarnya.
“Oh, nantilah Rabytha ambil kuncinya. Emm, berapa lama ayah nak keluar tu?” Rabytha terus membuka beg tangan untuk mengambil anak kunci van Serena.
“Kejap saja, sebelum tengah malam ayah baliklah. Kadang-kadang ayah rasa dah macam Cinderella pulak, mesti balik sebelum tengah malam. Nama saja ada anak perempuan tapi garangnya mengalahkan mak tiri.” Dia ketawa sambil mengusap perutnya yang buncit. Anak gadisnya menarik muka namun akhirnya turut tergelak.
“Ayah ni, Rabytha risau tau. Ayah tu suka perasan, berlagak macam orang muda. Rambut dah habis putih tapi kat dalam kepala masih ingat nak enjoy.”
“Rabytha oi, tak patut betul! Siapa yang patut bagi nasihat ni? Adui, gamaknya dunia ni dah terbalik.” Bukan hasratnya untuk sengaja keluar bersama rakan-rakannya tanpa tujuan tertentu. Namun dia tahu, Rabytha tidak serius dan hanya gemar menyakatnya.
“Habis tu, ayah sikit pun tak kesiankan anak ayah ni? Rabytha seriau jugak tinggal seorang-seorang kat rumah tu. Ayah kan tahu, tok tak ada. Dia balik hujung bulan nanti!” leternya.
“Patutnya Rabytha kahwin cepat-cepat sikit. Kalau kamu dah menikah, ayah rasa lega sikit. Ayah boleh cari kawan baru,” giatnya.
“Hah, senanglah nanti ayah buka port baru?” tempelak Rabytha sebelum keluar dari bilik.
“Eh, kami ni asyik sangat bersembang sampai lupa kamu masih ada kat sini. Jangan terperanjatlah, anak saya tu garang dengan ayahnya sahaja. Tapi dengan budak-budak lain, dia okey.”
“Saya dah tahu. Dari dulu lagi dia memang garang,” ujar Jo.
Mereka berdua ketawa.
“Maaflah, saya ingat-ingat lupa nama kamu. Anak kamu bersekolah di sinikah?” soal Cikgu Amran terus.
“Emm… Cikgu Amran, nama saya Mohd. Yusoff bin Abd. Wafi. Dulu saya pernah jadi anak murid cikgu. Mungkin cikgu dah tak ingat nama saya. Kawan-kawan sekolah panggil saya Jo.” Jo berbasa-basi. Sebetulnya, dia segan sekali dengan bekas gurunya itu.
Terlalu banyak kenangan pahit yang terpalit di mukanya. Baru kini dia sedar, kenakalannya tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Hampir-hampir dia dibuang sekolah jika tiada campur tangan ayahnya sendiri.
“Oh, masya-Allah! Jo ni anak Tan Sri, kan? Siapalah yang tak kenal bapa kamu. Selalu sangat muka beliau keluar surat khabar harian. Apatah lagi rumah kamu yang paling besar dan tersergam indah di kawasan ini. Kamu tu sahaja yang dah sombong dan tak nak bercampur dengan kami, ya tak?” giat Cikgu Amran.
“Isy, mana ada? Yang terkenal, yang kaya hanyalah ayah saya, tapi saya ni macam orang lain juga. Bekerja makan gaji. Kalau nak hidup, kenalah gali lubang sendiri. Saya tak suka menumpang kesenangan orang lain. Rasa hidup tak bermakna apa-apa. Lagipun, harta benda di dunia ini semuanya tak kekal. Entah esok atau lusa, semuanya hilang dalam sekelip mata,” terang Jo bersungguh-sungguh.
“La… Jo! You masih ada kat sini? Puas I cari kat luar. Ayah, bila ayah nak pi merambu? Dah tak jadi pulak? Nanti kawan-kawan ayah cop Rabytha ni queen control pulak.” Bertubi-tubi perkataan demi perkataan dihamburkan kepada Jo dan ayahnya.
“Rabytha!”
“Ya.” Rabytha termangu apabila namanya diseru.
“Kalau ya pun nak bercakap, cuba perlahan sikit,” tegur ayahnya. “Ayah dah ubah fikiran. Rugi pulak rasanya kalau tak berborak dengan bekas anak murid ayah ni. Hehehe!” gelaknya. “Eh, Jo!”
“Ya.” Jo pula yang terkejut apabila namanya diseru.
“Senang-senang hang mailah ke rumah kami. Cuma kat seberang jalan tu saja.” Dia mempelawa Jo.
“Cikgu Amran tinggal di sini? Err... Bila masa pulak cikgu pindah?” soal Jo kehairanan. Setahunya, rumah keluarga Rabytha berada di kampung berdekatan.
Semenjak tinggal di taman perumahan baru itu, dia tidak pernah keluar rumah. Alasan basinya, sibuk dengan kerja dan tidak ada masa lapang. Malah, tidak terfikir langsung mahu bercampur gaul dengan jiran melalui aktiviti yang sering diadakan pada hujung minggu. Uminya sendiri sudah muak untuk mempelawa atau memaklumkan tentang undangan yang diterima. Cuma petang ini agak terkecuali sekali gus telah melakar sejarah yang tersendiri. Mujur juga hatinya tergerak untuk pergi ke sekolah tadika Siti Qistina sementelah kerja di pejabat telah beres. Bertugas sebagai jurutera komputer memerlukan tumpuan seratus peratus terhadap setiap tugasan. Kepakaran yang dimilikinya hendaklah sentiasa berinovasi selain kreatif dan positif. Itulah yang menjadi pegangan hidupnya kini.
“Kami sekeluarga berpindah ke sini selepas tubuhkan tadika,” terang Cikgu Amran diiringi batuk-batuk kecil. Nada suaranya mula mendatar.
“Oh!” Jo menyahut tanda mengerti.
“Ayah! Hello, excuse me… Cakap, cakap juga. Jomlah, Jo, ke bilik sebelah. Mihun dan air kopi dah nak sejuk tu. Kalau ayah tak malu, jomlah join sekali,” celah Rabytha.
“Tengok, Jo. Nasiblah ayahnya ni memang jenis muka tembok,” ujar Cikgu Amran sambil menuding jari telunjuk ke mukanya sendiri. Lantas ditepuk-tepuk bahu pemuda hampir sebaya anak perempuannya. Entah kenapa, pertemuan petang itu telah berjaya membawa kembali memori lama dan Cikgu Amran dapat merasakan ia bakal mencipta sesuatu yang baru dalam kehidupan dia anak-beranak.
Jo tergelak namun dia tidak mahu aksi dirinya nampak terlebih-lebih. Biar tak ketara perasaan yang mula bergelora di ruang kalbunya.
No comments:
Post a Comment